Bina dan teroka potensi anak-anak melalui pendidikan Montessori

0
101
Mawar Ashireem Razali

CYBERJAYA – Walaupun kaedah pembelajaran Montessori telah lama bertapak di negara ini, masih ramai dalam kalangan ibu bapa yang tidak memberi perhatian kepada manfaat dan kelebihannya dalam perkembangan awal kanak-kanak.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1906 oleh pengasasnya, Maria Montessori, kaedah pendidikan ini bukan sahaja diiktiraf di seluruh dunia bahkan terbukti lebih berkesan dalam perkembangan minda pelajar.

Ketua Pegawai Operasi Brainy Bunch Kindergarten, Mawar Ashireem Razali, pendidikan Montessori menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkkan berbanding corak pendidikan konvensional kerana lebih fleksibel.

Beliau berkata, ia memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka sesuatu dengan sepenuhnya tanpa bergantung kepada jadual waktu dan peraturan tadika

“Oleh kerana tidak bergantung kepada jadual dan peraturan yang terlalu ketat, pendidikan ini dilihat mampu memberikan keseronokan kepada pelajar.

“Untuk jangka masa panjang, ia membangunkan emosi kanak-kanak yang lebih stabil dan lebih cekap dalam menguruskan diri sendiri,” katanya dalam Live Malakat Now bertajuk Kaedah Pembelajaran Montessari malam ini.

Menyentuh mengenai perlaksanaan pendidikan ini, Mawar berkata, kaedah yang tidak mengkelaskan murid mengikut umur, pemarkahan atau gred itu membolehkan mereka lebih pandai bersosial dan juga lebih kreatif.

Katanya, tadika yang mengaplikasikan pendidikan itu biasanya berbeza dalam pelbagai aspek jika dibandingkan dengan tadika biasa.

Murid mengikuti kaedah pembelajaran Montessori di taska Brainy Bunch, Cyberjaya.

Di Brainy Bunch misalnya, kanak-kanak diberi pendedahan kepada persekitaran yang menyeronokkan dengan bantuan alat pembelajaran khusus sebelum melangkah ke peringkat membaca dan mengira.

“Kita sediakan alat bantu pembelajaran yang menjadikan sesi pembelajaran seakan-akan bermain.

“Sebagai contoh, sebelum murid diajar membaca mereka akan diajar mengenal objek dan memahami konsep kuantiti sebelum diajar mengira,” katanya.

Bagaimanapun katanya, bagi menyesuaikan cara pembelajaran untuk kanak-kanak Islam, konsep pendidikan Montessori yang dikembangkan di Barat itu telah ditambah baik mengikut penerapan nilai Islam.

“Alhamdulillah kita melihat perkembangan dan penguasaan yang baik dalam kalangan murid sama ada dari aspek interaksi sosial, intelek, adab dan amal.

“Semoga asas yang baik ini dapat membentuk keperibadian kanak-kanak ini menjadi insan yang lebih berkualiti bila mereka besar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here