Central Medicare dikenakan lockdown, 2,808 orang tunggu untuk disaring

0
250
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Seluruh kawasan di asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak, Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga kelmarin, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan sebanyak 1,966 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 185 orang telah didapati positif Covid-19.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lokaliti tersebut bermula esok sehingga 7 Mac 2021,” katanya hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,808 orang pekerja warganegara serta bukan warganegara yang tinggal di lokaliti itu.

Pada masa sama, katanya, ia juga seterusnya untuk mengawal jangkitan dalam komuniti.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di Penjara Taiping dan kuarters kakitangan, Taiping, Perak yang dijadualkan tamat esok.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 482 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 142 kes telah direkodkan.

“KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel saringan sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Taiping seperti yang dijadualkan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here