Covid-19 dijangka berakhir tahun depan, mutasi tidak serius

0
255

COPENHAGEN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan senario dan kesan penularan terburuk pandemik Covid-19 berakhir pada awal tahun depan.

Pengarah Serantau WHO (Eropah), Hans Henri P. Kluge berkata, walaupun Covid-19 masih merebak pada tahun ini, wabak itu akan lebih terkawal berbanding tahun lalu berikutan pengambilan vaksin di peringkat global yang sedang berjalan.

“Virus ini akan terus wujud tetapi saya berpendapat sekatan tidak akan diperlukan. Ini adalah mesej yang optimis,” katanya ketika bercakap kepada saluran penyiaran Denmark dilaporkan Agensi Berita Anadolu.

Keyakinan itu juga menurutnya adalah berdasarkan kewujudan lebih banyak maklumat mengenai virus itu berbanding pada peringkat awal penularannya tahun lalu.

Kluge berkata, walaupun penularan wabak itu semakin menghampiri ‘penamat’ beliau mengingatkan tiada sesiapa yang dapat mengetahui keadaan sebenar pandemik Covid-19 pada masa depan.

Dalam pada itu katanya, isu mutasi juga adalah perkara biasa kerana virus berkenaan sedang cuba menyesuaikan diri dengan individu yang dijangkiti tetapi kebimbangan utama yang ada pada ketika ini adalah penularan mutasi secara pantas. 

Beliau berkata, WHO kini sedang memantau keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkan dan mengatakan vaksin yang sedia ada boleh diubah suai berdasarkan mutasi jika perlu tanpa perlu kembali dibangunkan dari mula.

Beliau berkata, mutasi tidak akan menjadikan virus itu berada di luar kawalan.

Katanya, ia bagaimanapun akan meningkatkan tekanan terhadap negara yang sistem penjagaan kesihatan sudahpun berdepan kesukaran, justeru isu mutasi perlu diberi perhatian amat serius.

Kluge menekankan, masalah terbesar akan muncul apabila golongan telah divaksin berada dalam kelompok sama dengan mereka yang tidak menerima vaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here