Covid-19: Jemaah menteri yang balik dari luar negara hanya perlu kuarantin 3 hari

0
151
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba

CYBERJAYA – Jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hanya perlu menjalani pemerhatian selama tiga hari berdasarkan warta baharu kerajaan persekutuan berkaitan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang diwartakan semalam.

Perintah tersebut yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara akan berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 1 Ogos ini.

“Tertakluk kepada perenggan 3, Menteri mengecualikan jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian seksyen 15 Akta.

“Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sebelum ini, mana-mana individu yang pulang dari luar negara perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan kuarantin selama 14 hari.

Malaysia sebelum ini mengetatkan kawalan sempadan negara dengan tidak membenarkan sebarang pelancong luar negara masuk ke dalam negara berikutan kes Covid-19 yang semakin menular.

Sejak 13 Januari lalu, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak berikutan pertambahan kes jangkitan baharu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here