Covid-19: Program pemberian vaksin fasa pertama bermula hujung bulan ini

0
44
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memulakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada hujung bulan ini. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini akan melibatkan tiga fasa. Fasa pertama akan melibatkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan. 

“Fasa ini amat penting untuk melindungi ‘frontliners’ kita yang berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19. Fasa pertama program imunisasi ini dijadualkan tamat pada bulan April,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Penjelasan Terkini Mengenai Pelaksanaan Proklamasi Darurat dan Pemasyuran Ordinan Darurat Dalam Mengurus Pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, katanya, program bagi fasa kedua pula akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 seperti warga emas dan golongan rentan iaitu yang berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi. 

Katanya, golongan orang kelainan upaya (OKU) turut termasuk di dalam fasa tersebut.

Beliau berkata, dijangkakan sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini, yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos ini.

“Bagi fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari bulan Mei ini hingga Februari tahun hadapan. 

“Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here