
CYBERJAYA – Pendidikan Islam menjadi faktor utama mengapa bukan Melayu tidak mahu menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan adalah satu dakwaan yang dangkal.
Pengerusi Presiden Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, Pendidikan Islam tidak sepatutnya dipersalahkan dalam soal tersebut.
“Mengapakah Pendidikan Islam dipersalahkan pula? Pendidikan Islam hanya diajar kepada murid-murid beragama Islam manakala yang bukan Islam diajar pendidikan moral.
“Jika Pendidikan Islam dikatakan buang masa kerana tidak boleh dapatkan kerja, pendidikan moral bagaimana pula,” kata Aminudin dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi membalas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan Pendidikan Islam menjadi punca bukan Melayu tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.
Menurut Aminudin, beliau juga kecewa dengan pandangan Dr. Mahathir mengenai Pendidikan Islam yang kononnya menjadi masalah kepada sistem pendidikan Malaysia sekarang.
“Dr. Mahathir menyebut pendidikan Islam tidak membantu ke arah kemajuan dari segi sains dan teknologi buat negara, atau tidak berguna untuk mendapat pekerjaan.
“Ini satu sisi pandang yang sangat menyedihkan tentang pendidikan ataupun ilmu. Pendidikan atau ilmu bukanlah untuk mendapatkan pekerjaan semata-mata. Banyak lagi kegunaan ilmu.
“Kejayaan pembangunan tamadun manusia tidak hanya bergantung pada Sains dan Teknologi semata-mata tetapi sejauh manakah manusia boleh membawa kemajuan itu.
“Kita sudah saksikan bagaimana Barat maju dari segi Sains dan Teknologi tetapi pada masa yang sama hancur nilai kemanusiaan dan akhirnya gagal mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan.
“Jika menggunakan logik sama yang digunakan oleh Tun, maka banyaklah perkara yang tidak boleh dibuat di sekolah.
“Jangan ada sukan, jangan ada badan beruniform, jangan ada ini dan itu, kerana ianya tidak boleh digunakan untuk dapat kerja jurutera, doktor dan sebagainya,” jelas Aminudin.
Selain tu katanya, banyak lagi faktor lain yang terlalu ketara yang boleh ditekankan seperti kemudahan dan keselesaan sekolah-sekolah kerajaan
Katanya, dari zaman Dr. mahathir menjadi Menteri Pendidikan, sampailah menjadi Perdana Menteri untuk kali ke-2, masalah kedaifan sekolah kerajaan ini tidak pernah selesai.
“Lebih ironinya lagi, penemuramah bertanyakan tentang konteks antara sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular. Sepatutnya secara automatiknya akan terlintas mengenai isu kemudahan dan keselesaan.
“Bercakap mengenai kemudahan, saya teringat bagaimana sekolah-sekolah vernakular khususnya sekolah swasta mendapat peruntukan dana jutaan ringgit yang luar biasa ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri pada zaman PH. Siapa tak mahu pergi sekolah mewah serba selesa yang didanai oleh kerajaan sebegini?
“Saya secara jujurnya berpendapat bahawa kini, Pendidikan Islam di sekolah tidak mencukupi pun lagi dan hanya pada tahap memadai sahaja. Bayangkan, dengan Pendidikan Islam yang ada di sekolah seperti sekarang ini pun ramai yang masih tidak benar-benar memahami agamanya, apatah lagi jika tiada langsung. Janganlah hapus atau dikurangkan pula.
“Isu sosial dalam kalangan remaja dan gejala rasuah kolar putih terutamanya yang beragama Islam yang berlaku pada hari ini berpunca dari kegagalan menghayati nilai Islam walaupun mereka berjaya dalam kerjaya,” katanya.