DBKL, RapidKL perluas bas percuma dengan Laluan Coklat

0
84
Perkhidmatan Bas GoKL yang menjadi ‘nadi’ pengangkutan golongan B40 di ibu kota.

KUALA LUMPUR – Akses perkhidmatan awam di kawasan perumahan awam dengan beberapa lokasi strategik di ibu kota akan diperluaskan meluaskan melalui perkhidmatan Bas GoKL melalui pembukaan Laluan Coklat.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata, inisiatif bas percuma melalui kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Rapid Bus Sdn Bhd itu melibatkan laluan sepanjang 14 kilometer.

Katanya, Laluan Coklat bermula dari Seksyen 10 Wangsa Maju, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Taman Tasik Sri Rampai, menghala stesen transit LRT Sri Rampai dan kawasan-kawasan di sekitarnya.

Beliau berkata, perkhidmatan itu diharap dapat membantu golongan berpendapatan rendah (B40) yang bergantung kepada perkhidmatan awam itu untuk bergerak ke lokasi-lokasi penting.

Selain itu, laluan coklat itu turut melibatkan Perumahan Awam Setapak Jaya 1A juga akan menghubungkan pusat tumpuan orang ramai seperti Medan Selera D’Rejang, Masjid Abu Ubaidah dan pusat beli-belah seperti AEON BIG dan Wangsa Walk.

“Dengan kekerapan bas setiap 15 minit, perkhidmatan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada warga kota ke stesen LRT dan ke tempat kerja terutamanya kepada golongan B40,” kata beliau.

Terdahulu, pelancaran laluan baharu Bas GO KL itu dilakukan secara langsung dalam talian menerusi platform Facebook rasmi DBKL.

Dalam pada itu, Annuar berkata jumlah penumpang perkhidmatan Bas GO KL pada tahun lepas menurun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19.

Sementara itu beliau berkata, jumlah penumpang Bas GoKL direkodkan seramai 9.7 juta orang dengan purata 27,000 penumpang sehari berbanding 2019 seramai 19.7 juta orang dengan purata 55,000 penumpang sehari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here