Dr. Mohd Daud Bakar dilantik sebagai Pengerusi MAIWP

0
73
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menyerahkan watikah pelantikan kepada Dr. Daud Bakar semalam

CYBERJAYA – Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr. Mohd Daud Bakar dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang baharu.

Pelantikan Dr. Mohd. Daud bersama 21 Ah MAIWP yang baharu berkuatkuasa 10 Feb lalu itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, watikah pelantikan kepada mereka yang berkenaan telah disampaikan semalam di Kompleks Islam Putrajaya.

“Dr. Mohd Daud yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia adalah seorang tokoh dan pakar kewangan Islam, selain aktif menjadi penasihat syariah institusi kewangan di peringkat antarabangsa seperti di Oman; Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE); Perancis dan London, England,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, dalam kenyataan yang sama, Zulkifli turut memaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MAIWP yang baharu.

Selain itu katanya, selari dengan peruntukan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], seramai lima ahli ex-officio turut dilantik.

“Mereka adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan mewakili Ketua Setiausaha Negara; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun; Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin mewakili Ketua Polis Negara; Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah; dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail pula dilantik sebagai Setiausaha MAIWP, selaras dengan Akta 505.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here