
SEREMBAN – Dua premis di pusat bandar di sini yang cuba mengelirukan pelanggan kononnya mereka pemegang sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diserbu oleh pihak berkuasa hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, operasi halal itu membabitkan tiga pegawai penguat kuasa KPDNHEP negeri dan lima pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Katanya, premis berkenaan yang menjual produk makanan sejuk beku di Jalan Tuanku Munawir dan Jalan Tun Dr Ismail di sini didapati menggunakan logo halal Jakim pada papan iklan kedai mereka.
“Premis terbabit juga didapati mempamerkan sijil halal pembekal bahan mentah tanpa mendapat kebenaran daripada pihak JHEAINS dan taktik itu dilihat cuba mengelirukan pelanggan seolah-olah mereka adalah pemegang sijil halal Jakim.

“Ia suatu kesalahan di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ain Arjuna berkata, pihaknya sentiasa menjalankan tindakan penguatkuasaan halal bersama JHEAINS dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, setakat hari ini, 10 tindakan kes berkaitan penyalahgunaan logo halal dan sijil tauliah sembelihan dijalankan membabitkan peringkat pengilang, pengedar, restoran dan peruncit.
Menurutnya, hukuman bagi kesalahan di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala hukuman bagi suatu pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM250,000, jika sabit kesalahan.
“Manakala di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu menggunakan apa-apa petunjuk yang menunjukkan makanan terbabit boleh dimakan oleh orang Islam juga satu kesalahan.
“Hukuman bagi kesalahan ini jika disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi individu dan denda sehingga RM5 juta bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan,” katanya.
Dalam pada itu, Ain Arjuna mengingatkan peniaga supaya tidak menggunakan logo halal, sijil halal atau mempamerkan apa-apa perakuan tanpa kebenaran Jakim.
Beliau berkata, penggunaan sijil halal atau logo halal adalah untuk pemegang sijil halal sahaja.-MT