E-dagang: Peluang untuk kita semua rebut, tapi perlu lebih bersedia

0
85
Mohamad Azarul Hakim Ibrahim

CYBERJAYA – Perkembangan pesat teknologi komunikasi yang memberi anjakan kepada sektor perniagaan terutama melalui platform digital tidak seharusnya dilepaskan.

Bahkan pertukaran atau integrasi kaedah perniagaan secara konvensional kepada perniagaan e-commerce atau e-dagang menawarkan peluang mudah kepada sesiapa sahaja untuk terlibat.

Ketua Pegawai Teknikal Kumpulan Malakat, Mohamad Azarul Hakim Ibrahim berkata, walaupun industri e-dagang masih baharu di negara ini , ia mempunyai potensi yang cukup besar pada masa akan datang.

Beliau berkata, jangkaan jumlah pendapatan melalui platform digital dalam negara bagi tahun 2020 (sebelum ini) dianggarkan mencecah RM18.6 bilion dengan unjuran 18 peratus kenaikan setiap tahun.

“Kita jangka online sales akan terus meluas dalam masa 10 tahun lagi.

“Jadi apa yang penting sekarang kita perlu melihat pelbagai aspek yang dapat menyokong sektor ini untuk manfaat berganda pada masa depan,” katanya dalam video Ekonomi Kita bertajuk ‘Perniagaan E-Commerce’ yang disiarkan Malakat Mall malam tadi.

Tahap pergantungan pengguna e-dagang di negara ini semakin meningkat namun masih rendah jika dibandingkan dengan negara lain.

Bagaimanapun, Azarul berkata, data menunjukkan kadar perbelanjaan dalam talian (online) setahun rakyat Malaysia masih rendah iaitu sekitar RM600 yang mana masih terlalu rendah dari kadar antarabangsa iaitu RM2,500 seorang.

“Jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan China yang memiliki 600 juta online shopper yang setiap seorang berbelanja pada kadar sekitar RM3,500 setahun,” katanya.

Justeru katanya, usaha memajukan sektor e-dagang negara perlu dilihat secara lebih komprehensif untuk menguasai pasaran yang lebih global pada masa depan.

Katanya, antara komponen penting untuk menggerakkan ekonomi e-dagang dalam negara adalah keperluan lojistik yang perlu berkembang seiring.

“Suatu ketika dahulu hubungan pembeli dengan penjual dilakukan secara manual sekarang diintegrasikan dengan syarikat lojistik.

“Lama kelamaan, pengguna merasakan e-commerce sesuatu yang menguntungkan kerana lebih jimat dan cepat,” katanya.

Tambah Azarul, dalam usaha untuk menjadi pemain e-dagang yang hebat, negara juga tidak boleh bergantung kepada jumlah pengguna di Malaysia semata-mata sebaliknya perlu melihat rantau Asia Tenggara sebagai satu negara.

“Dengan menguasai pasaran, kita mampu mendapatkan akses kira-kira 350 juta pengguna e-dagang di rantau ini,” katanya.

E-dagang membuka peluang kepada usahawan tempatan meluaskan perniagaan ke peringkat global.

Selain itu katanya, masa depan e-dagang juga perlu dilihat kepada manfaat yang boleh diterima dalam rantaian e-dagang itu sendiri, misalnya membuka peluang usahawan tempatan meluaskan pasaran perniagaan ke peringkat antarabangsa.

“Inilah masanya untuk jenama-jenama tempatan yang berjaya di luar negara meluaskan perniagaan ke negara-negara lain.

“Sebab itu usaha mengembangkan e-dagang adalah usaha menyeluruh melibatkan pelbagai pihak bukannya usaha peniaga itu semata-mata,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here