Ebit Lew bantu dua beradik kembali ke sekolah

0
82
Ebit Lew bersama adik Farisya, 11, yang terpaksa memasak menggunakan dapur kayu di rumah neneknya.

KOTA BHARU – Selepas tular di media sosial baru-baru ini, nasib empat beradik yang terpaksa tinggal bersama nenek dan datuk selepas ibu bapa berada dalam tahanan penjara mendapat pembelaan daripada pendakwah terkenal, EBit Lew.

Lebih malang lagi, dua daripada mereka yang sepatutnya bersekolah, terpaksa melupakan hasrat untuk belajar demi menjaga dua adik yang masih kecil.

Bagaimanapun selepas kunjungan Ebit Lew, mereka akan dihantar untuk menyambung semula pengajian di Maahad Tahfiz Manzil Furqan di sini dengan segala yuran ditanggung oleh ikon masyarakat itu.

Ebit Lew dalam hantaran Facebooknya hari ini berkata, beliau sedih melihat kehidupan adik Farisya, 11, dan adik-adiknya yang hidup dalam serba kekurangan selepas terpisah dengan ibu bapa mereka.

“Sayu sedih tengok adik Farisya 11 tahun masak guna dapur kayu jaga 3 adik kecil. Buat susu adik guna susu pekat manis menggantikan susu tepung. 

“Adik paling kecil umur 1 tahun. Dah tak sekolah jaga adik. Tinggal dengan atuk nenek dah uzur. Mak ayah dalam tahanan,’’ katanya.

Ebit Lew bersama 4 beradik yang tinggal bersama nenek selepas terpisah dengan ibu bapa mereka yang kini berada dalam tahanan.

Ebit Lew berkata, beliau yang ditemani ibu saudara adik beradik berkenaan telah mendaftarkan 

Farisya dan adiknya untuk mengikuti pelajaran di sekolah tahfiz. 

“Di sini ada pelajaran sains, subjek agama dan Tahfiz. Cantik dan eksklusif. Sebulan RM600. Terus hantar ke sini tadi. Seronok adik-adik ni.

“Saya tanya kenapa nak sekolah. Jawabnya nak berjaya macam ustaz nak tolong mak ayah dan adik-adik. Rindu nak belajar dan bahagiakan keluarga,’’ katanya.

Dalam hantaran itu, Ebit Lew turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu beliau menyalurkan bantuan termasuk Jabatan Kebajian Masyarakat Kelantan.

“Masa nak pergi semua atuk nenek, jiran, pakcik makcik semua tadi menangis. Sampai kami pun menangis. Teringat anak dekat rumah. Beratnya ujian mu wahai anak. Maafkanlah kami lambat membantu.

“Terima kasih Penghulu dan masyarakat sekitar. Terima kasih zakat. Terima kasih penderma PKUM. Terima kasih kepada NGO di Kelantan. Terima kasih Raja Anita,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here