‘Ebit Lew ganti baharu semua sekali’

0
188
Ebit Lew bersama mangsa dua beradik yang kehilangan rumah dalam kebakaran di Pengkalan Chepa baru-baru ini.

KOTA BHARU – Mangsa kebakaran di Pengkalan Chepa dekat sini bagaikan hilang kata-kata selepas menerima bantuan daripada Ebit Lew selepas rumah yang didiami bersama adiknya musnah 100 peratus dalam kejadian beberapa hari lalu.

Ebit Lew dalam hantaran di Facebooknya malam tadi berkongsi keprihatinan beliau untuk membina semula kediaman yang diduduki dua adik-beradik termasuk seorang pengidap sindrom down yang juga buta.

“Alhamdulillah. Bantu rumah adik terbakar di Pengkalan Chepa. Dua beradik ni tadi menangis cakap terima kasih. Ulang kali.

“Sedih lak rasa. Terus plan buatkan rumah baru untuk adik ini. Tadi bawa plan rumah dan bayarkan dengan kontraktor disini untuk barang dan lain-lain,” katanya.

Menurut Ebit Lew, selain bantuan membina rumah, pihaknya juga menghadiahkan sebuah motosikal baharu bagi menggantikan motorsikal milik mangsa yang hangus dijilat api.

“InsyaAllah telah bayar rumah ini sepenuhnya. Call ‘backhoe’ tolak kesan rumah lama. Hadiahkan motor baru roda tiga untuk abang ni cari rezeki. Motor lama dah terbakar.

“Menangis abang ni dapat motor baru. Katanya ya Allah, sehari dapat semua sekali,” katanya sambil menyatakan kekaguman terhadap kegigihan lelaki berkenaan menjaga adiknya orang kurang upaya (OKU).

Dalam kenyataannya, Ebit Lew mengucapkan terima kasih kepada orang ramai terutama saudara terdekat mangsa, ketua kampung, wakil rakyat dan menteri yang membantu melancarkan misi bantuan itu.

“Terima kasih Yadim. Terima kasih zakat dan semua ngo tempatan. Terima kasih semua media yang hebahkan. Terima kasih semua yang tag saya. Semoga Allah terima pengorbanan semua. Allah sayang semua,” katanya.

Ebit Lew menunjukkan model rumah baharu yang akan dibina untuk menggantikan rumah mangsa yang hangus dalam kebakaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here