
CYBERJAYA – Ikon masyarakat, Ustaz Ebit Lew terus membuktikan kerja-kerja amal kebajikan tidak sepatutnya dipisahkan oleh sempadan bangsa dan agama.
Usaha membantu masyarakat di negara ini perlu dilakukan tanpa meminggirkan golongan tertentu terutama mereka yang terasing jauh daripada perhatian umum.
Selepas menyalurkan bantuan kepada golongan miskin, ibu tunggal,rumah kanak-kanak, komuniti bajau laut dan gereja di Lahad Datu, Sabah, pendakwah bebas itu kelmarin turut menyantuni golongan transgender di daerah itu.
Dalam hantaran di Facebooknya, Ebit Lew berkata, pertemuan disambut baik oleh kumpulan itu yang mengaku terkesan akibat penularan Covid-19 pada ketika ini.
“Saya sebak rasa. Lewat sikit saya berjumpa dengan transgender daerah Lahad Datu.
“Mereka banyak bekerja wedding planner dan event. Ramai menangis tadi, mereka terkesan dengan ujian ini,” katanya.
Pada pertemuan itu, Ebit Lew turut memberikan bantuan wang tunai dan mendoakan mereka diberikan kasih sayang oleh Allah.
Hantaran yang dikongi sebanyak 3,800 kali ituitu turut dikomen oleh pelawak dan pelakon terkenal, Harith Iskander yang mengatakan keterbukaan dan keikhlasan Ustaz Ebit Lew memberi bantuan membezakan beliau dengan yang lain.

Komen Harith disokong oleh Fauzi Abdul Wahab yang menyifatkan apa yang dilakukan oleh Ebit Lew jauh lebih baik jika dibandingkan dengan kebanyakan ahli-ahli politik di negara ini.
“Negara memerlukan pemimpin seperti kamu, bukannya ahli politik,” katanya.