[VIDEO] Eyda Ice Cream sasar empayar pelbagai produk halal

0
225
Nor Waheeda Saleh menunjukkan sebahagian daripada 20 produk aiskrim yang ditawarkan syarikatnya.-FARID JANUDIN

BERBEKALKAN keyakinan untuk mencuba sesuatu yang baharu demi mengubah nasib keluarga, Nor Waheeda Saleh yang mengasaskan jenama Eyda Ice Cream kira-kira 10 tahun lalu kini bergelar usahawan berjaya.

Bermodal wang simpanan yang tidak seberapa, perniagaan yang bermula di ceruk dapur rumahnya kini menjadi jenama francais popular di utara tanah air selain menawarkan peluang perniagaan kepada ramai usahawan di sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang.

Pengarah Urusan Weeda Rich Sdn Bhd itu berkata, idea memulakan perniagaan aiskrim timbul selepas menyedari kekurangan pilihan dalam produk itu terutama yang dihasilkan oleh usahawan bumiputera Islam.

“Selain isu penggunaan gelatin yang diragui sumbernya, kami merasakan produk yang kami hasilkan ini dapat menjadi pilihan kepada mereka yang mencari produk yang benar-benar halal dari segi penghasilan dan kebersihannya.

“Sehingga kini, Eyda Ice Cream sudah mempunyai kira-kira 20 jenis produk aiskrim yang dipasarkan di seluruh negara,” katanya ketika ditemui di kilang yang terletak di Kepala Batas Entrepreneur Park.

Bermula dengan wang simpanan sendiri, kini Noor Waheeda berjaya bantu 50 usahawan lain
Nor Waheeda Saleh memantau operasi kilang aiskrimnya di Kepala Batas Entrepreneur Park, Pulau Pinang.-FARID JANUDIN

Menceritakan tahun-tahun pertama ketika mula berkecimpung dalam penghasilan aiskrim, Waheeda mengaku tidak mudah untuk mendapat kepercayaan orang ramai kerana produknya masih belum dikenali ketika itu.

Katanya, perjalanan dalam dunia perniagaan bukan episod yang mudah bahkan perlu sentiasa gigih dan bersabar menempuh kegagalan.

“Beberapa kali juga saya melalui kegagalan sebelum melakukan penambahbaikan pada produk untuk mendapatkan rasa yang lebih disukai pelanggan.

“Tapi itu bukanlah bahagian yang paling sukar kerana sebagai seorang yang tidak pernah tahu apa-apa mengenai selok-belok perniagaan, cabaran menguruskan perniagaan saya rasakan lebih mencabar,” katanya.

Namun berkat kegigihan dan sokongan suami dalam aspek pemasaran, produk Eyda Ice Cream mula dikenali dan mendapat sambutan terutama untuk majlis perkahwinan, sambutan hari jadi, penganjuran acara korporat dan jualan di kedai runcit dan pasar malam.

Skim francais fooftruck yang ditawarkan kepada usahawan.-FARID JANUDIN

Selain usaha yang tidak pernah mengenal lelah, Waheeda mengakui kejayaan yang dicapai hari ini tidak mungkin berada dalam genggamannya tanpa bimbangan dan bantuan daripada agensi kerajaan khususnya, RISDA.

Katanya, selepas beberapa tahun beroperasi di rumah dan berniaga di pasar malam, beliau memberanikan diri memohon bantuan dari agensi berkenaan untuk memperluaskan perniagaan.

“RISDA beri saya geran pertama berjumlah RM10,000 pada tahun 2016 yang digunakan untuk berpindah operasi dari rumah ke kilang .

“Ketika itu RISDA nampak potensi pada idea perniagaan francais yang saya kemukakan,” katanya yang berpengalaman 17 tahun dalam bidang pengkeranian termasuk di Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang, Kepala Batas.

Produk Eyda Icecream yang dijamin halal.-FARID JANUDIN

Waheeda berkata, selepas berpindah ke lot kilang di Kepala Batas Entrepreneur Park, syarikatnya berupaya meningkatkan kapasiti pengeluaran dan menambah bilangan kakitangan untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Hasil bantuan RISDA itu jugalah saya berjaya tingkatkan pendapatan daripada RM50,000 semasa beroperasi di rumah kepada RM300,000 setahun (di kilang),” ujar.

Kata beliau, kira-kira dua tahun selepas itu, syarikatnya sekali lagi menerima bantuan daripada RISDA iaitu geran GroomBig berjumlah RM50,000 yang digunakan untuk menyewa satu lagi lot bersebelahan dan menai taraf kapasiti mesin.

“Atas kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada RISDA atas bantuan dan bimbingan yang tidak putus-putus.

“Pada pengalaman saya, memang cukup mudah berurusan dengan RISDA dan mereka sentiasa menawarkan peluang untuk saya meningkatkan kemahiran pengurusan perniagaan.

“Sebagai usahawan kadang-kala saya rasa seperti teramat dimanjakan sehinggakan tawaran menghadiri kursus disediakan sekali dengan pemandu dan tempat penginapan,” katanya.

Nor Waheeda bertemu pegawai RISDA di Ibupejabat Risda Pulau Pinang.-FARID JANUDIN
Borhan Din

Sementara itu, Borhan Din yang merupakan suami dan juga Pengarah Pemasaran Weeda Rich, berkata, syarikatnya kini menawarkan tiga kaedah francais iaitu jualan kiosk, foodtrak dan pakej bermotosikal yang ditawarkan pada harga bermula RM6,600.

“Selain aiskrim, kami juga sudah menghasil produk minuman iaitu kordial pelbagai perisa dan tidak lama lagi akan mengeluarkan produk ‘ready to drink’,” katanya.

Borhan berkata, melalui skim perniagaan francais yang ditawarkan, beliau berharap peluang itu dapat memberi kemudahan kepada usahawan untuk menjana pendapatan dan berkembang ke peringkat yang lebih baik.

Menurut Borhan, selepas sedekad dalam perniagaan aiskirm beliau berhasrat untuk terus meluaskan barisan produk makanan dan minuman pada masa akan datang memandangkan permintaan yang tinggi dalam segmen itu.

Sebagai usahawan, beliau berkata, keberanian untuk melabur dan melebarkan perniagaan menjadi cabaran utama bagi usahawan kecil dan sederhana.

“Pada peringkat ini saya mengharapkan perniagaan ini dapat dikembangkan lagi dengan bentuk bantuan yang lebih komprehensif dan berdaya maju,” katanya.

Skim francais bermotosikal yang ditawarkan kepada usahawan yang mahu bermula dengan modal kecil. -FARID JANUDIN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here