
CYBERJAYA – Guiness Book of Records baru-baru ini mengumumkan saluran Youtuber popular dari China, Li Ziqi sebagai saluran berbahasa Cina paling popular di dunia dengan jumlah langganan mencecah 14.2 juta ketika ini.
Li Ziqi mula berkongsi kandungan berkisar tentang kehidupan dan budaya pedalaman masyarakat China sejak 3 tahun lalu selepas terinspirasi dengan video kakaknya bermain gitar yang disiarkan di laman sosial Meipai.
Pemilik nama sebenarnya, Li Jiajia itu mula meraih perhatian pelayar YouTube selepas kontroversi ‘perang kimchi’ yang memaparkan resipi masakan mirip makanan tradisional masyarakat Korea.


Berbeza dengan kebanyakan paparan video kehidupan sebenar yang dihasilkan Youtuber dari seluruh dunia, video Li Ziqi mempunyai tarikan tersendiri melalui penggunaan teknik videografi yang cukup profesional berlatar belakangkan kawasan pergunungan negara China.
Di lahirkan di Mianyang, kemunculan gadis berusia 30 tahun itu di dalam videonya sering ditemani neneknya.
Selepas kematian bapanya ketika berusia 6 tahun dan kemudian datuknya ketika belajar dalam gred 5, Li Ziqi dibesarkan oleh keluarga neneknya sebagai ‘gadis kampung’ yang melakukan pelbagai kerja-kerja bagi seorang gadis zaman ini.
Di dalam videonya, dia kerap menonjolkan cara bercucuk tanam, menunggang kuda, bertukang, memasak dan menghasilkan barangan kraftangan.
Produksi kandungan Li Ziqi kini dibantu oleh dua orang krew yang memberi fokus kepada penghasilan video berkualiti profesional.