Gudang di Puchong simpan daging seludup diragui status diserbu pihak berkuasa

0
173
Daging Import – Gambar Hiasan

CYBERJAYA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas tiga kontena daging dipercayai diseludup dalam serbuan dilakukan di sebuah gudang sejuk beku di Puchong, Selangor.

Menurut MAQIS dalam satu kenyataan, serbuan itu dilakukan sepasukan anggota polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada pukul 7.30 malam kelmarin, sebelum kes diserahkan kepada MAQIS untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil maklumat awal yang diperoleh, pihaknya mendapati sumber daging yang ditemui bercampur dari rumah penyembelihan tidak diluluskan dan diiktiraf pihak berkuasa.

“Semua daging yang ditemui itu kemudian disita dan ditempatkan di pusat tahanan MAQIS.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 11 dan 15, Akta MAQIS 2011 (Akta 728),” katanya.

MAQIS berkata, aktiviti mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta 728.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Kegagalan mematuhi syarat permit import MAQIS yang sah pula juga satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta 728.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here