
CYBERJAYA – Kerajaan membenarkan ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka pulang ke asrama susulan pembukaan semula sesi persekolahan pada minggu hadapan merentas daerah atau negeri tanpa perlu mendapatkan surat daripada polis.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka hanya perlu mengemuka surat yang dikeluarkan oleh sekolah kepada anggota polis, ketika melalui sekatan jalan raya bagi merentas daerah atau negeri.
“Mesyuarat Teknikal setuju beri kelonggaran kepada ibu bapa untuk rentas negeri bagi hantar anak ke sekolah atau asrama, bagi sesi persekolahan yang akan bermula pada 1 Mac 2021.
“Mesyuarat juga setuju ibu bapa yang hantar anak mereka tidak perlu lagi mendapatkan surat kebenaran polis, namun hanya perlu tunjuk surat dikeluarkan sekolah ketika melalui sekatan jalan raya.
“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan saya baru bercakap dengan pegawai tertinggi PDRM bahawa perkara ini dimaklumkan polis di setiap daerah seluruh negara.
“Saya jangka tak ada isu di kawasan atau sekatan jalan raya apabila ibu bapa hantar anak mereka pulang ke sekolah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.-MT