
CYBERJAYA – Kerajaan digesa segera mengharamkan aplikasi berunsur maksiat, Sugarbook yang mendedahkan pelajar di institut lengajian tinggi tempatan terlibat dengan aktiviti sosial sehingga membawa kepada kancah pelacuran.
Menurut anggota Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Ahmad Sanusi Azmi, pendedahan itu tidak boleh dipandang ringan kerana kegiatan pelacuran dalam kalangan golongan berpendidikan memberikan gambaran tentang keruntuhan aset penting negara dan boleh menghancurkan institusi rumah tangga.
“Perkara ini pernah disabdakan oleh Rasulullah yang menegaskan bahawa fenomena zina akan membawa kepada kebinasaan.
“Pembudayaan zina dalam kalangan mahasiswa menggambarkan rosaknya masa hadapan sesebuah negara. Sabda Rasulullah, sekiranya berleluasanya perbuatan zina dan riba dalam sesuatu kawasan, maka mereka telah mengundang azab Allah kepada mereka.” (Hadis riwayat al-Tabrani, dinilai sahih oleh al-Albani),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, aplikasi maksiat itu membuat pendedahan mengejutkan apabila menyenaraikan 10 institut pengajian tinggi tempatan yang mana ramai bilangan pelajarnya menjadi ‘sugar baby’.
Lebih mengejutkan apabila Universiti Teknologi MARA diletakkan dalam rangking 10 teratas, yang mana jumlah pelajarnya antara tertinggi terlibat dalam kancah maksiat itu.

Dalam pada itu, Ahmad Sanusi berkata, peningkatan budaya zina dalam kalangan mahasiswa juga berupaya menghasilkan anak-anak zina.
Beliau berkata, ini bertetapan dengan sabda Rasulullah bahawa aktiviti maksiat itu seakan satu proses ke arah pembinaan keruntuhan sesebuah negara bangsa.
“Rasulullah bersabda dalam hadir riwayat Ahmad, umat ini akan sentiasa berada dalam keadaan yang baik selagimana tidak tersebarnya anak-anak zina.
“Sekiranya berleluasanya anak-anak zina, maka dibimbangi Allah akan merencana azab yang lebih luas buat mereka,” ujarnya.
Berikutan itu, katanya, segala platform dan ruang yang membawa kepada pembudayaan keji haruslah dihentikan.
“Kita tidak mahu melahirkan pelacur dalam kalangan pelajar pengajian tinggi. Semua pihak hendaklah menjalankan peranan masing-masing dalam menghancurkan budaya zina ini,” tegasnya.-MT