Harga siling RON95 dan diesel masing-masing ditetapkan pada harga RM2.05 dan RM2.15 seliter

0
130

CYBERJAYA – Berkuat kuasa serta merta, kerajaan menetapkan harga siling produk petrol RON95 dan diesel masing-masing pada harga RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata, langkah itu dibuat bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara
apabila harga sebenar minyak di pasaran global meningkat.

“Paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel
ini adalah lebih rendah berbanding had harga yang telah dilaksanakan oleh kerajaan
terdahulu pada tahun 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter
bagi diesel.

“Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, keputusan itu juga diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia.

“Trend harga minyak global juga dipengaruhi oleh pelan vaksinasi Covid-19 yang
mula dilancarkan secara beransur-ansur di seluruh dunia.

“Malaysia sendiri akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannnya bermula hujung Februari ini.

“Kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa
memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah
yang bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sebagai rekod minggu lalu, harga runcit petrol RON95 dan RON97 naik 3 sen kepada RM1.93 seliter dan RM2.23 seliter bagi tempoh esok sehingga 12 Februari ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, harga runcit bagi kedua-dua bahan bakar itu adalah masing-masing RM1.90 dan RM2.20 seliter. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here