Henti lombong emas di Kechau, Lipis atau berhadapan tindakan tegas

0
1261
Laporan sebuah media mengenai aktiviti melombong emas di Kechau, Lipis, Pahang semalam

KUANTAN – Kerajaan Pahang akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak melombong emas di kawasan Kechau, Lipis.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua pihak diarahkan menghentikan serta merta kegiatan melombong emas di kawasan tersebut.

Katanya, arahan itu untuk memastikan kegiatan terbabit dapat dikawal sebelum menjadi lebih serius.

“Walaupun kegiatan melombong emas itu dilakukan di atas tanah milik sendiri, hasil mineral tertakluk kepada peraturan dan hak kerajaan Pahang.

“Sebab itu saya minta mereka hentikan kegiatan itu untuk mengelak daripada dikenakan tindakan,” katanya seperti dipetik Harian Metro hari ini.

Semalam, media melaporkan terdapat penduduk di kampung tersebut yang menjadi kaya hasil daripada kegiatan melombong emas di Kampung Kechau.

Berdasarkan laporan, penduduk yang terbabit dalam kegiatan itu memperoleh pendapatan lumayan hasil jualan mineral berkenaan.

Difahamkan, ada penduduk yang membeli kenderaan secara tunai sekali gus mengubah nasib mereka.

Sementara itu mengulas status pemilik tanah yang memohon lesen pelombong kecil (LPK), Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri perlu meneliti permohonan iu sebelum kelulusan diberikan.

Katanya, ini kerana ada permohonan membabitkan antara 10 dan 15 individu di kawasan sama.

“Dalam hal ini, ia menimbulkan masalah dan sebab itu kita perlu teliti setiap permohonan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here