Hentikan segala pinjaman dan urusniaga yang ada unsur riba

0
1492
Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim memberi penerangan mengenai Bank Koperasi Tanpa Riba (Noriba) semasa majlis pelancaran di Malakat Mall. – FARIDJANUDIN/MT

CYBERJAYA – Mana-mana bank serta koperasi yang menawarkan pinjaman dan mengenakan keuntungan atas pinjaman yang diberikan diminta hentikan penawaran pinjaman sedemikian.

Perniagaan yang mengenakan caj lewat bayar atas baki hutang dan urusniaga yang ada caj lewat bayar atas pembelian juga wajib hentikan amalan bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul.

Pejuang Ekonomi Islam, Mohd. Fadzil Hashim berkata, semua yang dinyatakan itu merupakan jelas mengandungi unsur riba yang sangat dimurkai Allah dan Rasulnya.

Mohd. Fadzil berkata, riba merupakan salah satu dosa besar yang Allah sendiri membuat deklarasi perang kepada pelakunya. 

“Tuan semua boleh meneruskan perniagaan menjual aset seperti rumah, kenderaan, peralatan, dan sebagainya kerana ini dibenarkan.

“Tetapi pinjaman peribadi atau perniagaan sekiranya hendak diberi tidak boleh dikenakan tambahan bayaran tambahan atas apa-apa nama sekalipun.

“Di tengah-tengah negara kita yang masih tidak keluar dari ancaman Covid-19 yang mengakibatkan jutaan rakyat kita hilang pendapatan kita seharusnya menghentikan maksiat dan dosa-dosa besar kita dengan Allah.

“Hanya ALLAH sahaja yang mampu menyelamatkan kita dari segala ancaman. Hanya Allah sahaja yang berkuasa kita dan semua makhluk langsung tiada kuasa,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam surat terbuka kepada bank-bank, koperasi Malaysia, institusi kewangan kerajaan dan semua penjual.

Menurut Mohd. Fadzil, kejayaan sebagai manusia hanyalah apabila berjaya mengamalkan agama yang sempurna iaitu taat kepada perintah Allah dan ikut cara Rasulullah berpandu jalan sahabat dan panduan Guru Mursyid.

“Kita semua pasti akan mati suatu hari nanti. Kita semua akan melalui alam kubur yang pasti ditanya segala amalan dan perbuatan kita di muka bumi ini. Nabi berpesan ‘Tidak sempurna Iman sehingga kita mencintai Saudara kita seperti mana kita mencintai diri kita sendiri’.

“Saya cintakan semua demi Allah, saya mahukan semua dilindungi dan dilepaskan dari seksa dan azab kubur. Di beri Naungan Allah di hari yang tiada Naungan (hari mahsyar). 

“Saya doakan semua menerima amal dengan tangan kanan, diberi keistimewaan tidak perlu dihisab dan meniti titian sirat dengan sepantas kilat dan dimasukkan ke dalam Syurga tertinggi Jannatul Firdaus bersama Rasulullah walaupun saya sendiri belum tentu selamat,” katanya.

Selain itu katanya, kepada saudara yang bekerja di bank, koperasi dan institusi kewangan jangan berhenti berdoa dan terus berusaha dari dalam untuk menyedarkan pimpinan agar bersedia untuk taat kepada perintah Allah dengan menghentikan amalan riba dalam semua transaksi.

“Yakinlah bahawa hanya dengan mentaati Allah kita akan terselamat malah akan mencapai kejayaan benar-benar berjaya di akhirat dan dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Fadzil juga mencadangkan agar semua pinjaman peribadi diberi dengan menggunakan Dana Infaq NORIBA Negara. 

“Kita semua boleh berinfaq dan berikan dana kepada mana-mana bank atau institusi yang bersedia untuk menghentikan amalan riba.

“Sebanyak 50 peratus daripada dana NORIBA ini boleh digunakan untuk melabur dalam dana perniagaan Usahawan bagi membayar kos dan servis pengurusan di mana baki 50 peratus boleh diberikan terus untuk memberi pinjaman tanpa riba kepada yang memerlukan.

“Perincian cadangan ini boleh saya bentangkan jika ada yang berminat dan saya tawarkan khidmat saya secara percuma demi membina komuniti bebas riba 2030,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here