
CYBERJAYA – Keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) semalam yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara kepada Statut Rom telah mengesahkan bahawa tanah yang diduduki secara haram oleh Zionis Israel adalah kepunyaan Palestin.
Menurut Pengerusi Yayasan MyAQSA (MyAQSA), Suwardi Yaacob, dengan keputusan itu juga ICC telah mengiktiraf Palestin sebagai negara yang mempunyai segala hak yang sah di bawah Statut Rom.
“Dengan keputusan ini juga menjadikan ICC satu lagi badan antarabangsa utama yang mengiktiraf hak “self-determination” rakyat Palestin selain dari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Keselamatan PBB dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
“Ini merupakan satu perkembangan undang-undang antarabangsa yang amat besar.
“Walaubagaimanapun, MyAQSA juga menyedari bahawa kejayaan ini hanyalah permulaan kepada satu perjuangan yang lebih panjang. MyAQSA komited untuk menekuni dan meneruskan inisiatif perundangan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, ICC dalam satu kenyataan berkata, hakimnya ‘membuat keputusan majoriti’ yang bidang kuasa mahkamah itu dalam situasi di Palestin merangkumi sehingga ke wilayah dicerobohi Israel sejak tahun 1967, iaitu Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Palestin adalah negara anggota ICC selepas menyertainya pada tahun 2015, namun Israel tidak menjadi ahli ICC.
Menurut ICC lagi, ia bukan satu keputusan atas ‘kenegaraan” Palestin tetapi berikutan kedudukannya sebagai negara anggota di bawah Statut Rome yang mendasari ICC.
Dalam pada itu, Suwardi berkata, keputusan yang bersejarah itu juga bakal membenarkan segala jenayah perang, genocide dan jenayah kemanusiaan yang diperlakukan ke atas Palestin khususnya Gaza dan Tebing Barat di bawa ke muka pengadilan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Berikutan itu, katanya, penjenayah dan penindas rakyat Palestin tidak lagi bebas melakukan jenayah sesuka hati mereka di bumi Palestin.
“Dengan keputusan ini, Pendakwaraya di ICC sudah boleh memula, menyiapkan dan melengkapkan siasatan ke atas jenayah yang telah dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin berdasarkan pelbagai laporan serta bukti yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak.
“Pihak MyAQSA sendiri telah mengemukakan laporan dan bukti-bukti berkaitan kepada pejabat Pendakwaraya ICC sejak tahun 2018 lagi.
“Pada bulan September 2019, pasukan perundangan MyAQSA telah pergi sendiri ke beberapa tempat di sekitar Baitulmaqdis dan berjaya merekodkan keterangan lebih 30 saksi mengenai perlakuan jenayah Israel,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, MYAQSA akan terus membantu pihak ICC agar pendakwaan dan penghukuman ke atas Israel dapat direalisasikan.-MT