
CYBERJAYA – Farid Kamil dan Boy Iman tidak lagi dibenarkan menggunakan gelaran Datuk yang dikurniakan Istana Pahang berkuat kuasa serta merta.
Kedua-dua artis berkenaan sebelum ini dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang masing-masing membawa gelaran Datuk.
Perkara itu diumumkan melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Pahang selaku Pendaftar Darjah.
Nama sebenar Farid ialah Farid Kamil Zahari manakala Boy Iman Noruliman A Rahman.
“Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur kepada penama berikut ditarik balik dan dibatalkan.
“Penama terbabit tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan sebelum ini kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang serta-merta,” kata kenyataan itu.
Selain dua artis berkenaan, tiga ahli perniagaan turut diarahkan menyerahkan kembali pingat dan Darjah Kebesaran diterima.
Individu berkenaan ialah Wong Shee Kai @ Ricky (DIMP) ; Tran Thi Mai @ Maimunah dan Syed Mohammad Faiz Syed Azemman.
Surat penarikan balik gelaran itu berkuat kuasa 1 Februari lalu.-