Isu murtad: Jangan langkaui pihak berkuasa

0
208
Tangkap layar seorang lelaki berbangsa India yang mengaku telah mengahwini seorang wanita Indonesia dan memurtadkan isterinya itu.

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini dinasihatkan tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang berhubung isu lelaki bukan Islam yang memurtadkan seorang wanita Islam rakyat Indonesia baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al- Bakri berkata, walaupun isu berkenaan menyentuh sensitiviti agama dan hubungan kaum, umat Islam perlu mengambil kira aspek perundangan dan menyerahkan tindakan lanjut kepada pihak berkuasa.

Sehubungan itu beliau memberi jaminan untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan berhemah tanpa mencetuskan sebarang polemik berkaitan agama. 

“Kerajaan memandang serius sebaran video yang memaparkan pengakuan seorang lelaki bukan muslim yang mengaku telah memurtadkan seorang wanita Islam bukan warganegara Malaysia.

“Sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara, saya akan berusaha memastikan sebarang polemik berkaitan agama akan diselesaikan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan terjamin di bawah Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan manakala Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak dan kebebasan beragama untuk penganut agama Islam dan agama-agama lain di Malaysia termasuklah hak menganutinya dan mengamalkannya.

Pun begitu, menurut Zulkifli, penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam adalah tertakluk kepada Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Fasal ini memberi kuasa kepada negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama lain kepada orang Islam termasuk mengekang sebarang cubaan untuk memujuk, membawa atau mengajak orang Islam keluar dari agamanya sama ada melalui dakyah, perkahwinan atau apa jua cara sekali pun,” tegasnya.

Kelmarin tular video seorang lelaki India yang mengaku telah mengahwini seorang wanita warga Indonesia dan memurtadkan isterinya ke agama lain.

Selain pengakuan itu, lelaki berusia 29 tahun itu juga mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan mengajak orang ramai turut sama memurtadkan wanita Islam di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here