JAIS buru Muhamad Sajjad Kamaruzzaman

0
103
Waran tangkap dikeluarkan terhadap Nur Sajat pada Selasa lalu

CYBERJAYA – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan pihaknya ketika ini sedang ‘memburu’ Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36.

JAIS mencari Nur Sajat bagi melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa lalu selepas gagal hadir ketika sebutan semula kesnya.

Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad seperti dilaporkan Harian Metro berkata, pihaknya telah menerima waran tangkap terhadap Nur Sajat daripada mahkamah semalam.

“Mahkamah mengeluarkan waran tangkap tanpa jaminan terhadap usahawan kosmetik itu. Jadi, saya sudah arahkan anggota penguat kuasa JAIS mencari dan menahannya untuk dibawa ke mahkamah.

“Setakat ini Sajat masih belum ditahan dan pihaknya sedang berusaha mengesannya. JAIS menasihati Sajat supaya memberi kerjasama dan menyerah diri,” katanya.

Sebelum ini, Nur Sajat dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Pada 6 Januari lalu, Nur Sajat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid SHaee @ Shaii.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, pada 7.30 malam, 23 Feb 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here