
CYBERJAYA – Pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat, 78, meninggal dunia hari ini di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah Pelabuhan Klang, Selangor.
Perkara itu disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri sebentar tadi.
“Perginya seorang seniman. Dukacita dimaklumkan bahawa Datuk Jamali Shadat telah meninggal dunia pagi ini di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah Pelabuhan Klang.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amiin,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya.
Dalam pada itu, difahamkan Allahyarham meninggal dunia pukul 8.30 pagi tadi.
Allahyarham sebelum ini berada dalam keadaan uzur apabila tidak mampu berjalan dan kurang selera makan.
Ketika zaman kegemilangannya Allahyarham cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ bersama Atuknya dan pelbagai watak lain.-MT