
CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa bekalan ayam daging mencukupi di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bekalan ayam daging menckupi walaupun sebuah kilang pengeluar ayam utama negara diarah tutup baru-baru ini.
Alexander berkata, bagi memastikan ia mencukupi, sebuah kilang pengeluar ayam di Pedas, Negeri Sembilan telah diarah untuk membantu memproses pengeluaran ayam daging.
“Pengeluaran bekalan ayam daging tetap stabil dengan pengeluaran oleh kilang lain yang masih beroperasi seperti biasa dan dapat memenuhi keperluan pasaran.
“Berdasarkan rekod, tiada sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan ayam di pasaran yang diterima KPDNHEP di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sabtu lalu, kilang pemprosesan ayam di Serkam, Melaka diarah tutup selepas 604 pekerjanya disahkan positif Covid-19 sejak saringan dilakukan pada 1 Februari.
Menurut Alexander, KPDNHEP secara berterusan mengadakan libat urus dengan pihak industri ayam daging dan telur bagi menyelia operasi pengeluaran untuk memastikan kestabilan bekalan dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemain industri mengenai pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang beroperasi selain tanggungjawab pengusaha menyaring pekerja dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka.
Selain itu, beliau turut menasihatkan agar pengeluar, pembekal dan peruncit tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ayam ketika ini.
“KPDNHEP akan melaksanakan pemantauan di peringkat pengedaran dan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan menerusi portal [email protected], pusat panggilan 1800-886-800, Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 / 6245, e-mel ke alamat [email protected], menggunakan aplikasi Ez ADU atau WhatsApp ke 019-279 4317.