Jualan Proton merosot pada Januari

0
73
Gambar Hiasan

CYBERJAYA – Jualan kenderaan Proton Holdings Bhd merosot 29.9 peratus pada bulan lalu berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Pegangan pasarannya juga dianggarkan di tahap 18.5 peratus iaitu merosot satu peratus berbanding tempoh sama tahun lalu..

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, dengan penjualan 5,964 unit, Proton berada di tangga kedua bulan lalu.

“Sebenarnya kadar jualan mencerminkan ketidakbolehan pengeluaran kenderaan untuk memenuhi permintaan dan bukan pengurangan tempahan

“Januari adalah bulan yang agak sukar bagi industri automotif Malaysia.

“Kami mempunyai harapan tinggi agar momentum yang dibina pada akhir tahun lalu akan dibawa ke tahun baru ini, terutamanya selepas pengumuman insentif Penjana akan kekal hingga ke pertengahan tahun.

“Malangnya, pengumuman perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk kali kedua telah menghampakan harapan itu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Roslan, Proton Saga ialah model terlaris bulan lalu dengan 2,583 unit sudah dihantar kepada pembeli, sekali gus menjadikannya sedan segmen-A yang kedua paling popular.

“Proton X70 dan X50 pula kekal di tangga teratas SUV segmen-C dan segmen-B (lima tempat duduk), walaupun jualannya berkurangan kepada 892 unit serta 1,082 unit.

“Sebanyak 4,809 unit Proton X50 sudah dihantar kepada pelanggan sejak dilancarkan pada 27 Okt 2020,” katanya.

Sementara itu katanya, Proton Persona di tangga kedua kategori sedan segmen-B, manakala Proton Exora kekal MPV segmen-C paling popular.

“Proton Iriz pula mengakhiri bulan Januari di tangga ketiga bagi ‘hatchback’ segmen-B.” katanya.

Dalam pada itu katanya, walaupun Proton masih penuh dengan tempahan sejak akhir tahun lalu, pihaknya perlu bekerja keras supaya pengeluarannya dapat memenuhi permintaan.

“Talian bekalan kami terjejas untuk beberapa bulan lepas dan ini menyukarkan kebolehan membina kenderaan kerana bekalan bahagian tidak konsisten.

“Situasi ini dihadapi semua pengeluar kenderaan sejak tahun lepas, namun kami menaruh harapan ketibaan vaksin akan menstabilkan keadaan ini pada pertengahan tahun.” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here