
GEORGETOWN – Bermula hari ini, solat fardu dan solat Jumaat di semua masjid serta surau di Pulau Pinang dibenarkan dengan mengikut keluasan ruang solat.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, ruang solat untuk musafir atau pekerja e-hailing turut disediakan untuk menunaikan solat fardu.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) terkini itu turut membenarkan warganegara Malaysia atau pemaustatin tetap untuk solat fardu di semua masjid dan surau.
“Selain solat fardu, solat Jumaat juga dibenarkan mengikut keluasan masjid atau surau dengan minimum 40 orang. Ia terbuka untuk anak kariah, warganegara tempatan dan pemaustatin tetap sahaja.
“Sementara itu, laungan azan kembali kepada lafaz biasa yang mana sebelum ini laungan azan di masjid digantikan dengan lafaz azan disebut kepada ‘sollu fi buyutikum’ (solatlah di rumah kamu),” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu katanya, solat jenazah dan urusan pengebumian pula dibenarkan hanya untuk 30 orang yang terdiri daripada ahli keluarga dan pihak yang menguruskan pengebumian jenazah.
“Solat jenazah perlu dilakukan di petak yang disediakan, manakala aktiviti menziarahi kubur tidak dibenarkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata, majlis ilmu seperti kuliah Maghrib, bacaan surah Yasin dan tahlil dibenarkan, namun ia hanya dibenarkan dilakukan selepas solat Maghrib hingga solat Isyak sahaja.
“Penceramah dari luar dari Pulau Pinang tidak dibenarkan untuk menyampaikan kuliah di masjid atau surau di negeri ini. Bagi khutbah Jumaat pula, hanya khatib yang dilantik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang dibenarkan.
“Khatib perlu membaca teks yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) dengan khutbah perlu berlangsung dalam tempoh 10 minit sahaja,” katanya.
Dalam pada itu katanya, aktiviti lain seperti mesyuarat agung pemilihan jawatankuasa kariah ditangguhkan, manakala akad nikah hanya dibenarkan di pejabat agama daerah.