
CYBERJAYA – Sekolah dibenarkan untuk mengadakan kelas tambahan biarpun sesi persekolahan secara bersemuka bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berakhir 9 Februari lalu.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kelas tambahan di sekolah tersebut bagaimanapun perlu mendapatkan persetujuan daripada ibu bapa dan guru terlebh dahulu.
“kelas tambahan itu adalah sebagai persediaan pelajar sehingga tamat peperiksaan.

“Apabila dimaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka berakhir 9 Februari lalu, hasrat kami ialah untuk memberi ruang kepada calon-calon peperiksaan membuat persediaan kendiri.
“Tujuannya adalah untuk membuka ruang kepada calon menggunakan masa yang ada dengan pendekatan paling sesuai,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Katanya, Kementerian Pendidikan komited untuk terus melakukan yang terbaik kepada calon SPM 2020.
Menerusi hantaran sama, beliau turut berkongsi beberapa keping gambar lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tembak, SMK Seri Titiwangsa dan SMK Keramat Wangsa di Kuala Lumpur semalam.