Kenapa premis judi boleh buka dan masjid di sekat?-Mapim

0
223
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid

CYBERJAYA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan membatalkan pembukaan semula kasino dan pusat perjudian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan kerajaan dalam kadar segera kerana judi merupakan industri yang memberi kesan negatif kepada masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, keputusan kerajaan yang membenarkan pusat perjudian dibuka itu turut memberi persepsi negatif bahawa Perikatan Nasional (PN) lebih mengutamakan sektor perjudian berbanding keagamaan.

“Tanggapan masyarakat sekarang memberi gambaran seolah premis judi lebih diberi keutamaan berbanding masjid. Keputusan kerajaan itu sangat bertentangan dengan maqasid syariah dan ciri negara Islam.

“Keputusan itu juga kelihatan amat aneh apabila dilakukan oleh kerajaan yang berteraskan Melayu-Islam,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Menurutnya Mohd. Azmi, adalah tidak sesuai ketika dunia dan rakyat bergelut untuk kesinambungan hidup dan mencari jalan mengatasi pandemik Covid-19, tiba-tiba kerajaan melayani permintaan industri judi untuk beroperasi semula.

“Kami bantah keputusan membenarkan premis judi dibuka semula. Sepatutnya dalam keadaan negara berdepan musibah Covid-19, kerajaan perlu merancang secara bertahap untuk menghapuskan industri judi dalam negara,” katanya.

Mohd Azmi berkata, alasan industri judi berlesen perlu diberi hak beroperasi tidak boleh diterima sama sekali.

“Kerajaan perlu tunjukkan tekad walaupun industri judi mengutip cukai yang tinggi, namun implikasi ekonomi, sosial serta budaya tidak membantu membina masyarakat berteraskan nilai dan budaya hidup murni dan sihat.

“Industri judi memberi kesan negatif kepada masyarakat dan mudaratnya jauh lebih besar berbanding manfaat.Sepatutnya usaha dilakukan untuk banteras industri judi sedikit demi sedikit. 

“Ini bukan soal memilih sektor mana dibenarkan beroperasi semula atau ia perkhidmatan perlu atau tidak, persoalannya adalah industri ini membawa kesan negatif kepada masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, terdapat syarikat pengendali kasino serta syarikat nombor ramalan mengumumkan mereka kembali beroperasi selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here