Keputusan Mahkamah Persekutuan dilihat menghakis kuasa raja-raja Melayu – PEMBELA

0
1118
Mahkamah Persekutuan hari inimemutuskan badan perundangan Selangor tiada kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah

CYBERJAYA – Keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan badan perundangan Selangor tiada kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah dilihat secara tidak langsung menghakis kuasa milik Majlis Raja-Raja Melayu.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata, ini kerana raja-raja Melayu merupakan ketua agama Islam bagi negeri-negeri dan bidang kuasa agama Islam berada di bawah kuasa baginda.

“Hal ini kerana mereka adalah ketua agama yang sudah tentu akan memberi impak besar terhadap perundangan di negara kita.

“Keputusan ini secara tidak langsung mengurangkan kuasa Majlis Raja-Raja Melayu, yang mana raja adalah ketua agama di peringkat negeri,“ katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Tengku Maimun berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu, Aminuddin berkata, pihaknya memohon agar Majlis Raja-Raja Melayu memberi perhatian khusus kepada keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan itu.

Selain itu, beliau berkata, raja-raja Melayu juga diharap dapat menasihati pihak bertanggungjawab untuk mengadakan penambahbaikan terhadap undang-undang Syariah di peringkat negeri secepat mungkin.

Pada masa sama, Aminuddin menggesa, majlis-majlis agama Islam negeri membuat satu kajian terperinci dan semakan terhadap undang-undang Islam ketika ini.

Katanya, perkara itu juga perlu dilakukan dengan membuat perubahan bagi memastikan tiada lagi intrepretasi yang berbeza atau mengesampingkan ruang lingkup hukuman jenayah dalam Islam.

“Mereka paling ke hadapan dan bertanggungjawab untuk lihat perkara ini dan harus ambil tindakan sesegera mungkin untuk menghalang mana-mana lagi ‘challenge’ (cabaran) yang akan dibuat di masa hadapan terhadap hukum-hukum Islam,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here