Kerajaan lulus RM10.25 juta untuk bantuan mangsa banjir

0
83
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan peruntukan Bantuan Wang Ihsan berjumlah RM10.25 juta untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat bencana banjir semasa musim monsun timur laut 2020/2021 yang lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, peruntukan awal Bantuan Wang Ihsan itu akan disalurkan kepada kerajaan negeri yang terlibat dengan malapetaka banjir bagi mempercepatkan proses pengagihan bantuan.

“Berdasarkan laporan keseluruhan bencana banjir monsun timur laut 2020/2021 dari Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), bilangan mangsa bencana di seluruh negara yang direkodkan mulai 11 November 2020 hingga 14 Januari 2021 dianggarkan berjumlah 20,341 keluarga.

“Bagaimanapun, memandangkan negara masih lagi berada dalam fasa monson timur laut yang dijangka berakhir pertengahan Mac ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) boleh memohon peruntukan tambahan berdasarkan jumlah sebenar keluarga yang telah disahkan sekiranya terdapat pertambahan mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, setiap keluarga yang terjejas akan menerima RM500 manakala RM5,000 diberikan kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga disebabkan bencana banjir.

Beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor baru-baru ini dilanda banjir teruk yang menyaksikan ribuan penduduk ditempatkan di pusat pemindahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here