
CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju supaya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula penghujung bulan ini turut membabitkan pemberian vaksin secara percuma kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia.
Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin, dalam satu kenyataan bersama, hari ini.
Menurut kenyataan itu, persetujuan tersebut diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri yang diadakan semalam.
“Ini akan melibatkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di Malaysia. Walaupun begitu, keutamaan pemberian vaksin Covid-19 adalah kepada warganegara Malaysia terlebih dahulu.
“Maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warganegara asing akan diumumkan kelak,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, keputusan itu diambil selepas mengambil kira persekitaran selamat serta bebas Covid-19 dalam negara hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk diberikan vaksin dan pemberian vaksin dalam tempoh pandemik seperti mana sekarang adalah langkah berperikemanusiaan.
Keputusan itu juga diambil setelah melihat kepada rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster yang wujud daripada pekerja asing dan kos rawatan dan kuarantin pesakit Covid-19 yang tinggi akibat jangkitan kepada kluster-kluster berkenaan.
“Keputusan pemberian secara percuma ini juga dibuat memandangkan akses bekalan vaksin Covid-19 yang diperoleh Malaysia adalah mencukupi serta melebihi jumlah warganegara Malaysia yang layak menerimanya,” kata kenyataan itu lagi.