
SHAH ALAM – Satu kajian yang dijalankan oleh Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME), Amerika Syarikat meramalkan jumlah kes harian Covid-19 di negara ini meningkat sehingga 20,000 jangkitan bermula Mac ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu bagaimanapun tidak semestinya tepat kerana kadar penularan kes bergantung kepada kepatuhan rakyat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Beliau berkata, pada April 2020, agensi penyelidikan JP Morgan pernah meramalkan angka positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 6,300 kes pada pertengahan bulan itu.
Bagaimanapun katanya, jangkaan itu ternyata meleset apabila hanya sekitar 4,000 kes dicatatkan di Malaysia pada bulan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama menurunkan angka jangkitan yang diramalkan.
“Mari kita tunjukkan bahawa kita dapat menurunkan angka yang diramalkan oleh IHME seperti yang kita lakukan dengan ramalan JP Morgan untuk pertengahan April 2020.
“Mari kita bersatu dalam menewaskan virus ini dan mengetepikan perbezaan dan kepentingan diri kita, terus fokus untuk memerangi perang ini dan melakukan yang terbaik untuk negara.
“Bersama-sama kita rakyat Malaysia dapat wujudkan yang mustahil dan lindungi orang yang lemah dan tersayang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Khamis.