Kilang proses bebola ikan dan babi yang beroperasi lebih 50 tahun di Pulau Pinang diarah tutup

0
4166
Tempat memproses bebola daging babi dan ikan yang bukan sahaja kotor malah terletak bersebelahan. Kredit gambar Malaysia Gazette

KEPALA BATAS – Bukan setakat kotor dan menjikkan, sebuah kilang di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang dikesan turut memproses bebola ikan dan babi di tempat sama.

Dalam serbuan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bermula pukul 10 pagi tadi, kilang yang sudah beroperasi lebih 50 tahun itu didapati tidak mengikut syarat serta piawaian ditetapkan.

Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Mohd Wazir Khalid, pihaknya mendapati kilang terbabit memproses bebola ikan dan babi di tempat yang sama.

Mohd Wazir berkata, pihaknya juga bimbang berikutan sesetengah produk bebola yang dikeluarkan tidak mempunyai label seterusnya akan menimbulkan kekeliruan terutamanya pada pengguna Muslim.

“Kita dapati terdapat percampuran pada bahan ikan dan daging khinzir dalam proses menghasilkan bebola dan apa yang menjadi kekeliruan terdapat bungkusan yang tidak mempunyai label.

“Bagi produk yang mempunyai label pula, ia ditulis dalam tulisan Cina dan menyalahi undang-undang kerana setiap produk dikeluarkan wajib mempunyai tulisan bahasa Melayu kerana produk-produk makanan seperti ini kebiasannya dijual di pasar-pasar basah sekitar Pulau Pinang,” katanya seperti dipetik laporan Malaysia Gazette hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah beberapa kali memberi amaran dan nasihat kepada pemilik kilang itu tetapi tidak diendahkan.

“Tiada sebarang penambahbaikan yang diambil bahkan pekerja juga tidak mengambil suntikan Tifoid,” katanya.

Katanya, JKNPP mengambil tindakan menutup kilang terbabit selama dua minggu dibawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selain mengeluarkan tiga notis dibawah Peraturan 32 akta sama atas kesalahan pengabaian kebersihan diri ketika mengendalikan makanan.

Selain itu, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MBSP) turut mengambil tindakan berikutan pejabat kilang itu beroperasi tanpa lesen.

“Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri yang turut serta dalam operasi itu turut mengambil tindakan ke atas pemilik berikutan kesalahan sukat timbang dan menyimpan minyak masak tanpa kebenaran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here