
CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu negara mengambil iktibar daripada Kluster Pasai di Sibu, Sarawak yang sehingga kini telah menyebabkan 2,363 orang positif Covid-19 dengan 18 kematian.
Beliau berkata, penularan Covid-19 dari kluster berkenaan juga telah menyebabkan seluruh Sarawak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP di beberapa daerah.
Semua itu katanya berpunca daripada seorang pembawa yang pada mulanya diuji sebagai negatif dan positif enam hari kemudian.
“Kluster Pasai ialah kluster paling besar Sarawak. Punca kluster Pasai ialah seorang perempuan yang pulang dari Johor ke Sibu pada 29 Disember untuk majlis pengebumian ayah.
“Saringan yang dibuat setelah tiba di airport adalah negatif dan dia disuruh kuarantin kendiri 14 hari di kediaman sendiri.
“Malangnya 7 hari kemudian pada 5 Januari 2021, dia didapati positif Covid dan tercetusnya kluster Pasai sehingga seluruh Sarawak terpaksa melaksanakan PKPB serta PKP di beberapa daerah,” katanya dalam hantara Facebooknya hari ini.
Najib berkata, Kluster Pasai membuktikan kepada kita bahawa kuarantin kendiri di rumah sangat berisiko dan tempoh kuarantin selama 3 hari sahaja adalah merbahaya dan tidak memadai.
“Inilah risikonya bila menteri (serta rombongan mereka) yang pulang dari luar negara diberi kelonggaran untuk pengawasan 3 hari di rumah sahaja berbanding kuarantin 10 hari (sepatutnya 14 hari),” ujar beliau.
Lebih merbahaya lagi katanya sekiranya berlaku jangkitan virus mutasi yang lebih ganas seperti mutasi United Kingdom dan Afrika Selatan.
“Pada ketika ini kes aktif sudah cecah 50,000 dan kapasiti Kementerian Kesihatan (KKM) sudah jauh dilepasi, sistem kesihatan kita tidak mungkin dapat bertahan jika mutasi UK yang menular dengan kadar 70% lebih laju merebak ke negara kita,” katanya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba baru-baru ini mengumumkan Dokumen perintah berjudul ‘Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021’ yang memberi kelonggaran kepada jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara dengan tempoh kuarantin selama 3 hari. -MT