Kita nak bagi lot tanah percuma pun ada yang tidak mahu – Coach Fadzil

0
334
Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Malakat Mall menawarkan lot tanah Muslim Village yang sedang dibangunkan di Serendah, Selangor secara percuma kepada pelanggan yang berbelanja sebanyak RM500 setiap bulan di Malakat Grocer.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, tawaran itu merupakan salah satu daripada ‘pemacu’ pembangunan perkampungan Islam berkenaan supaya dapat dikembangkan ke beberapa lokasi lain.

Mohd. Fadzil berkata, pembangunan kawasan perumahan berkonsepkan ‘tiny village’ di atas tanah seluas 176 ekar di Bukit Tasik, Serendah itu adalah sebahagian daripada usaha pihaknya memberi semula kepada masyarakat hasil daripada perniagaan Malakat Mall.

“Mudah sahaja, kami hanya memerlukan komitmen tuan-tuan berbelanja sebanyak RM500 sebulan di pasar raya kami selama lima tahun.

“Itu antara syarat utama sebelum kami keluarkan surat tawaran memiliki lot tanah di Muslim Village Eco Resort kepada mereka yang menyertai program ini,” katanya menerusi siaran Live di Facebooknya hari ini.

Dalam kata lain, Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil mahu usaha ‘memindahkan’ perbelanjaan barang keperluan harian ke Malakat Mall itu dapat menyatukan kuasa beli ummah dan mengukuhkan eko sistem perniagaan Islam yang dibangunkan Malakat Mall ketika ini.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin memiliki lot kediaman di Muslim Village boleh mengisi borang pendaftaran secara dalam talian, menandatangani deklarasi dan berkongsi maklumat program kepada lebih 10 orang.

Langkah seterusnya adalah dengan mempamerkan resit perbelanjaan di Malakat Mall dan mendapatkan surat tawaran daripada beliau sendiri.

Beliau berkata, setakat ini pihak telah menerima lebih daripada 700 pendaftaran untuk pembangunan fasa pertama yang dihadkan kepada 3,000 peserta.

“Buat masa ini tapak pertama kita ada di Serendah kira-kira setengah jam pemanduan dari Kuala Lumpur dan kita juga ada tapak di Tapah, Perak.

“Jika pendapatan kita bertambah, kita boleh bangunkan perkampungan ini di mana-mana sahaja,” katanya.

Beliau berkata, walaupun orang ramai hanya boleh berbelanja di dua cawangan Malakat Grocer iaitu di Malakat Mall C yberjaya dan di Taman Putra Perdana pada ketika ini, Coach Fadzil yakin untuk mewujudkan lebih banyak lagi cawangan pasar raya itu.

“Antara perancangan kami adalah untuk membuka cawangan baharu di setiap kawasan yang mempunyai 500 orang peserta projek Muslim Village.

“Dalam kata lain, mereka berbelanja di pasar raya komuniti kami, dan keuntungannya kami tawarkan mereka peluang memiliki rumah di Muslim Village,” katanya.

Coach Fadzil berkata, unit kediaman seluas 500 kaki persegi dalam perkampungan agro pertanian itu akan menggunakan konsep penempatan Islam, perkongsian kemudahan dan kelestarian alam.

“Orang akan kata kecil sangat Coach, tapi kita mahu jadikan rumah ini sebagai Tiny House, Big Living’. Bukan rumah semata-mata tapi pembangunan komuniti itu secara keseluruhannya yang lebih penting,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai projek Muslim Village boleh diperolehi di laman web https://muslimvillage.io/

Introduction Muslim Village

Mengulas lanjut mengenai perkampungan itu, Coach Fadzil berkata usaha itu juga sebahagian daripada pelan mewujudkan komuniti Islam yang lebih ‘bersedia’ menghadapi sebarang kemungkinan akhir zaman.

“Kita bukan sahaja perlu ada pelan sekuriti makanan tetapi perlu juga ada sekuriti kehidupan sebab dalam ekonomi dunia sekarang apa sahaja boleh berlaku.

“Jadi kita harus bersedia. Rasulullah sendiri telah memperingatkan kita tentang persediaan akhir zaman.

“Bahkan Nabi Muhammad juga pernah menyuruh umatnya pergi ke gunung bersama haiwan ternakan dan mencari tempat-tempat yang mempunyai bekalan air,” katanya.

Coach Fadzil bersama Pengerusi Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom semasa majlis menandatangai projek Muslim Village, November tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here