Kumpulan Malakat sasar pembukaan 100 Malakat Grocer tahun ini

0
243
Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim ketika ditemui di Malakat Grocer cawangan Taman Putra Perdana petang ini. -FARID JANUDIN

PUCHONG – Kumpulan perniagaan Malakat mensasarkan pembukaan 100 cawangan Malakat Grocer pada tahun ini melalui program pemilikan perniagaan peruncitan secara rakan kongsi.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, sasaran penambahan cawangan Malakat Grocer itu merupakan sebahagian daripada rancangan pembukaan premis baharu dan pengambil alihan semula kedai-kedai runcit sedia ada.

“Selepas pembukaan cawangan pertama di Taman Putra Perdana yang dibuka pada Ogos tahun lalu, kami merasmikan dua lagi cawangan di Ampang minggu lalu.

“Dalam masa tiga bulan akan datang, kami jangka membuka 10 lagi outlet Malakat Grocer dengan tumpuan di Selangor dan Lembah Klang,” katanya.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata demikian dalam sesi Live Facebook Malakat Mall di Malakat Grocer Cawangan Taman Putra Perdana petang ini.

Malakat Grocer Cawangan Taman Putra Perdana, Puchong semasa pembukaannya pada Ogos tahun lalu. -FARID JANUDIN

Keyakinan itu katanya, didorong potensi dan permintaan terhadap barang-barang segar dalam segmen peruncitan.

Katanya, sebagai rancangan melebarkan perniagaan, pihaknya akan memberi 70 peratus tumpuan kepada penjualan barang segar manakala selebihnya barangan runcit harian.

“Kami telah mengkaji kejayaan 99 Speedmart, FamilyMart dan kedai Acheh dan yakin kami telah dapat ‘crack the code’ dalam sektor peruncitan. Ebit Lew pun buat perkara yang sama dengan Elewsmart.

“Selain itu kami juga sudah menyelesaikan isu pembekalan melalui orang tengah yang selama ini menyebabkan harga barang terpaksa dijual sedikit mahal berbanding tempat lain,” katanya.

Barangan keperluan harian dan produk segar di Malakat Grocer.

Bagaimanapun Coach Fadzil berkata, kejayaan memecah kod itu bukanlah kejayaan ‘versi akhir’ tetapi menjadi permulaan kepada usaha melebarkan perniagaan Malakat Grocer.

Dengan pendapatan setiap cawangan pada purata RM200,000 sebulan atau RM5,000 sehari, beliau menawarkan peluang rakan kongsi kepada mereka yang berminat.

“Apa yang kita tawarkan bukan skim pelaburan tetapi pemilikan unit kedai secara persendirian, bukannya perkongsian (pelaburan).

“Konsep ini juga bukan francais tapi lebih kepada rakan niaga Coach Fadzil,” jelasnya.

Lebih menarik, peluang perkongsian itu hanya menawarkan keuntungan kepada peserta dengan jaminan pulangan semula wang.

“Keperluan kapital ini kami ringankan dengan konsep ‘partnership’. Mereka boleh jadi ‘sleeping partner’ sahaja, kerana ramai yang minta begitu. Kerja-kerja yang berat biarlah kami yang buat.

“Kami tak mahu anda rugi, kalau rugi biar kami yang tanggung sebab kami mempunyai ‘kapasiti’ yang lebih besar dari sumber-sumber perniagaan yang lain,” ujar beliau.

Sementara itu Coach Fadzil berkata, bagi yang mahu memiliki perniagaan Malakat Grocer secara ‘total’, permulaan modal dianggarkan bermula pada harga RM500,000 hingga RM700,000.

Mereka yang berminat untuk merebut peluang ini boleh berbuat demikian dengan menghubungi Coach Fadzil di Facebook atau bahagian pengurusan di laman Facebook Malakat Mall. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here