
CYBERJAYA – Malakat Mall melalui Raudhah College mengajak orang ramai mengikut siaran langsung Back To School pada malam ini untuk mengetahui peluang pengajian secara percuma yang ditawarkan kumpulan perniagaan itu.
Siaran Live melalui laman Facebook Malakat Mall yang akan dimulakan pada pukul 9 malam ini itu akan menampilkan Pengasas Malakat Mall dan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Raudhah College, Dr. Taha Omar.
Program Back To School bertajuk ‘Pendidikan Diploma Percuma: Jaminan Masa Depan Anak Anda itu akan membincangkan cabaran menyediakan pendidikan di institusi pengajian tinggi oleh ibu bapa demi masa depan anak-anak.
Menariknya, kedua-dua tokoh itu dijangka mengumumkan peluang kepada orang ramai khususnya penyokong perniagaan Kumpulan Malakat merebut tempat untuk menghantar anak-anak menyambung pengajian di Raudhah College.
Raudhah College yang kini beroperasi di bangunan Malakat Mall di sini menyediakan pengajian peringkat diploma kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pelbagai bidang pengajian antaranya Pendidikan Awal Kanak-Kanak; Kulinari Halal; Pelancongan Halal; Pendidikan Elemantari dan Keusahawanan Islam.
Antara kekuatan pusat pendidikan itu adalah jaminan kursus latihan industri dan peluang pekerjaan dalam ekosistem perniagaan Islam yang dibangunkan Malakat Mall ketika ini.