KWSP umum dividen 5.2 peratus simpanan konvesional, 4.9 peratus simpanan shariah

0
63
KWSP

CYBERJAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pemberian dividen sebanyak 5.20 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.90 peratus untuk simpanan shariah.

Menurut KWSP dalam satu kenyataan, agihan dividen keseluruhan bagi 2020 adalah RM47.64 bilion.

Katanya, ia melibatkan jumlah agihan RM42.88 bilion bagi simpanan konvensional serta dengan agihan berjumlah RM4.76 bilion untuk simpanan shariah.

“Dengan purata lima tahun dividen sebenar pada kadar 4.62 peratus untuk simpanan konvensional dan 4.32 peratus bagi simpanan shariah selepas diselaraskan untuk inflasi, KWSP mengatasi sasaran strategik dengan pengisytiharan purata dividen sebenar tidak kurang daripada dua peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut,” katanya.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, berkata KWSP sudah berjaya melindungi simpanan persaraan ahli dengan baik, di samping memenuhi keperluan mendesak untuk menangani cabaran semasa.

“Ada ketikanya, KWSP perlu mengambil keputusan yang sukar bagi memastikan ahlinya mampu bertahan dalam situasi semasa yang mencabar dan pada masa sama mengimbangi keperluan masa depan mereka.

“Penyebaran dan kebolehjangkitan Covid-19 yang pantas telah menyebabkan ia sukar dibendung dan dikawal. Namun, langkah proaktif kami dalam menangani kesan daripada wabak berkenaan telah membantu kami untuk mengatasi pelbagai cabaran.

“Fokus ke arah digitalisasi telah membolehkan kami membantu ahli dengan lebih cekap dan lancar di samping memastikan KWSP tetap relevan dengan ahli yang kian celik teknologi,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here