Lakukan kajian terperinci terhadap undang-undang jenayah Islam- Pembela

0
32
Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa pihak berkuasa agama melakukan kajian terperinci terhadap undang-undang jenayah Islam.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, Majlis Raja-Raja perlu terlibat untuk menasihati pihak bertanggungjawab bagi menyegerakan penambahbaikan undang-undang itu.

Aminuddin berkata, kerajaan juga perlu meneliti semula Perlembagaan dan menubuhkan satu jawatankuasa yang sesuai dengan status Malaysia sebagai negara Islam.

“Ini tidak bermakna kami menolak atau mengetepikan agama lain seperti yang ada dalam Perlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan usul dikemukakan seorang lelaki berumur 35 tahun yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 21 Ogos 2019 atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan undang-undang syariah negeri Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah.

Panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan penetapan seks luar tabii sebagai jenayah di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu bakal menjadi permulaan titik hitam kepada perundangan jenayah syariah dalam negara.

“Tindakan tersebut akan menjadi jenayah untuk mencabar kelakuan atau peruntukan jenayah syariah pada masa hadapan.

“Kami khuatir pada akhirnya, Mahkamah Syariah tidak lagi boleh mengadili kelakuan yang menjadi jenayah dalam agama Islam.

“Jadi sudah tentu ia menjadi senario yang tidak adil kepada bukan sahaja hukum syariah tetapi kepada umat Islam secara keseluruhannya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here