
CYBERJAYA – Polis telah membuka kertas siasatan mengenai dakwaan Tan Sri Annuar Musa melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya juga akan memanggil Menteri Wilayah Persekutuan itu.
“Satu laporan berhubung kejadian berkenaan juga telah dibuat di Cheras. Keterangan beliau (Annuar) akan diambil,” katanya seperti dilaporkan Kosmo.
Susulan perkara itu, Annuar semalam memuat naik beberapa hantaran di laman Twitternya yang merujuk kepada gambar tular tersebut.
Annuar berkata, beliau cuma duduk sebentar semasa program Pertanian Bandar itu sebelum beredar kerana program tidak patuh SOP.
“Tadi semasa di ladang, saya duduk sekejap dan pindah kerana penganjur tak ikut SOP.
“Bukan tak sudi atau tak hargai tuan rumah, tetapi perlu ikut SOP. Saya pohon maaf, diharap tiada yang tersinggung,” katanya.