Lebih 700,000 orang menganggur disebabkan krisis kesihatan di seluruh negara

0
96
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Jumlah pengangguran di Malaysia meningkat kepada 772,900 orang dengan kadar 4.8 peratus pada Disember tahun lalu.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu pula meningkat kepada 146,200 orang berbanding November tahun yang sama disebabkan pelaksanaan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang bulan tersebut serta cuti persekolahan dan cuti perayaan yang singkat.

“Kumpulan ini, yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan.

“Keadaan pasaran buruh pada bulan Disember tahun lu yang masih dipengaruhi oleh krisis kesihatan dan kesan ekonomi telah memperlahankan momentum pemulihan
pasaran buruh.

“Oleh itu, pasaran buruh pada bulan ini kekal kompetitif dengan bilangan tenaga buruh meningkat seramai 27.8 ribu orang kepada 15.99 juta orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pada bulan ini adalah pada 68.4 peratus.

Katanya, jumlah penduduk di luar tenaga buruh mencatatkan penurunan sebanyak 2,600 orang berbanding November tahun lalu kepada 7.37 juta orang dengan komposisi terbesar adalah disebabkan bersekolah/ latihan.

Dalam pada itu, katanya, berikutan negara mengalami permintaan buruh yang lebih perlahan pada tahun 2020 disebabkan impak negatif pandemik Covid-19, bilangan penganggur mencatatkan pertambahan melebihi 200,000 orang.

“Krisis kesihatan telah memberi impak yang besar kepada tenaga buruh dan menyebabkan kadar pengangguran mencecah lebih empat peratus berbanding kadar purata tiga peratus yang direkodkan dalam tempoh pra-krisis.

“Oleh itu, bagi tahun 2020, kadar pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus, kadar tertinggi yang dicatatkan sejak 1993 (4.1%),” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here