Lelaki kudung kaki antara 7 kakitangan JPJ ditahan SPRM kerana manipulasi cukai jalan

0
688
Kesemua suspek berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki kudung sebelah kaki antara salah salah seorang daripada tujuh individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan.

Memetik laporan Harian Metro yang memetik satu sumber SPRM berkata, kesemua suspek teraebut merupakan petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, mereka terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan antara 11 pagi hingga 1 tengah hari.

“Semua kakitangan yang ditahan bertugas di JPJ Johor, mereka dipercayai memanipulasi sistem mySIKAP bagi urusan cukai jalan LKM.

“Ia membabitkan jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang kini berada di Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi proses reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Mengulas lanjut, Azam berkata siasatan kes itu bermula hasil maklumat dan kerjasama yang baik oleh Bahagian Integriti dan Pejabat Ketua Pengarah JPJ.

“SPRM akan meneruskan kerjasama dengan JPJ agar langkah pematuhan dan penambahbaikan proses kerja dapat dilakukan sebagai langkah mengelakkan kegiatan rasuah ini berulang khususnya ia menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.

“Perkara ini telah dibincangkan dengan ketua pengarah JPJ sebelum ini dan perkongsian maklumat seumpama ini dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus jabatan sekali gus menutup ruang dan peluang rasuah,” katanya.

Beliau turut meminta pihak atau agensi untuk memberi maklumat kepada SPRM seperti dilakukan pihak ketua pengarah JPJ itu.

Pada masa sama, Azam menyeru orang ramai berurusan di kaunter jabatan untuk mengambil peduli dan sentiasa memeriksa resit selepas melakukan urusan di kaunter atau dengan ejen yang dilantik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here