Lombong emas haram : 5 kali serbuan, masih tiada tindakan?

0
528
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Kegiatan perlombongan emas secara haram yang dilakukan di Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis, Pahang baru-baru ini disyaki ada penglibatan ‘orang dalam’ dalam kalangan pihak berkuasa negeri kerana masih berulang walaupun sudah 5 kali diserbu.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, menjadi sesuatu yang tidak masuk akal apabila identiti syarikat atau ‘taukeh’ kumpulan yang menjalankan kegiatan melombong emas secara haram itu masih tidak diketahui.

Walhal, mengikut rekod, pihak berkuasa telah mengesan lima kes yang sama tahun lalu dan menahan beberapa individu.

Aminuddin berkata, serbuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa seolah-olah kerja sia-sia jika kegiatan itu masih berulang dan dalang sebenar tidak dapat dihentikan.

“Tahun 2020 sahaja, dilaporkan sebanyak lima kes serbuan diadakan. Ini sungguh tidak masuk akal. Pada setiap kali serbuan, dilaporkan pihak berkuasa menyita jentera dan jentolak besar serta alat-alat cari gali.

“Jentera, jentolak dan alat-alat cari gali bukanlah murah. Dan operasi cari gali dengan skala sebegini bukannya boleh dilakukan oleh orang sembarangan tetapi ianya pasti dilakukan oleh syarikat yang besar,” katanya.

Kegiatan melombong emas secara haram yang menggunakan jentera berat masih berleluasa di negara ini.

Sabtu lalu, Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis berjaya mengesan sebuah kawasan cari gali emas haram di Kompartmen 86, Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon, Lipis.

Pegawai PHD Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, serbuan di kawasan itu menemukan tapak khemah sindiket terbabit dipercayai dianggotai antara empat hingga enam individu yang berpengalaman luas dalam kegiatan itu.

Katanya, kes itu adalah kejayaan pertama PHD Lipis tahun ini yang memberi perhatian serius terhadap kegiatan melombong emas secara haram dan tahun lalu sebanyak lima kes dikesan dan menahan beberapa individu.

Katanya lagi, sindiket terbabit menggunakan kemudahan moden untuk mengesan kedudukan kawasan jajaran emas menyebabkan mereka sanggup mengeluarkan modal besar untuk menyediakan kelengkapan seperti palong, jentera dan enjin pam air.

Sehubungan itu, Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) beranggapan tidak mungkin selepas 5 kali serbuan, syarikat pelombong itu masih beroperasi jika tidak memiliki ‘lesen’ daripada pihak berkuasa.

“Tidak mungkin ia dilakukan oleh syarikat yang berbeza-beza . Apakah di daerah Lipis ini terlalu ramai penceroboh yang pandai melombong emas? Ini baru di Lipis, berapa ramai lagi di seluruh Pahang pula?

“Sudah lima kali serbuan dan ada tangkapan sebelum ini, mengapa identiti syarikat atau ‘taukeh’ masih tidak diketahui? Apakah ada ‘deal’ dengan pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa?,” soalnya.

Aminuddin turut menegaskan kegiatan menjarah hasil secara haram di tanah milik kerajaan adalah satu pencurian harta rakyat.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa menjejak penceroboh dan dalangnya serta memberikan hukuman yang setimpal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here