Majlis Raja-Raja Melayu putuskan status ajaran ‘Agama Melayu’

0
199
Ajaran Agama Melayu telah didedahkan oleh Yadim baru-baru ini

PUTRAJAYA– Majlis Raja-Raja Melayu akan memutuskan status berkenaan ajaran ‘Agama Melayu’ yang dibawa oleh seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Ibu Yati’ baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, keputusan muzakarah telah diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

“Perkara ini dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal  Ugama Islam (MKI) kali ke -118 minggu lalu dan kini menunggu keputusan Majlis Raja-Raja sebelum boleh diumumkan.

“Saya tidak boleh komen lanjut. Selepas pengumuman dilakukan oleh Majlis Raja-Raja Melayu, Jakim akan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk makluman dan hebahan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 Jakim- YWM dan Pelepasan  Konvoi Program Musa’adah  Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir Jakim- Yayasan Wakaf Malaysia (Jakim-YWM) ke Kelantan di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Majlis pelepasan telah disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad al- Bakri.

Program Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir Jakim-YWM ke Kelantan  yang memasuki siri ke-3 itu menyaksikan bantuan berjumlah RM60,000 disalurkan ke Pasir Mas, Kelantan yang menjadikan jumlah keseluruhan bantuan disalurkan setakat ini berjumlah RM200,000.

Masjid Negara Kuala Lumpur turut menyumbang kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan sebanyak RM10,000 selain sumbangan pihak Ajinomoto (Malaysia) Berhad berbentuk pek barang makanan kering bernilai RM4,250 dan sumbangan ke Tabung Musa’adah Covid-19 berjumlah RM5,000.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here