
AMPANG – Malakat Grocer hari ini membuka dua cawangan baharu pasar raya miliknya di Taman Kosas dan Pandan Mewah di sini.
Menurut Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim, kedua-dua cawangan baharu itu yang diambil alih oleh pihaknya baru-baru ini, menjual pelbagai barangan keperluan harian termasuk barangan basah yang status halalnya diyakini.
“Buat masa ini proses pengambil alihan sedang berlaku, kita minta tempoh seminggu untuk jadikan ia Malakat Grocer.
“Untuk itu usaha pertama kita ialah dengan mengeluarkan barangan yang kita tidak yakin ia halal. Sebab ini adalah satu prosedur operasi standard (SOP) wajib untuk setiap produk memasuki Malakat Grocer.
“Selain itu, barang-barang yang walaupun ada sijil halal tapi tak ada manfaat langsung contohnya air oren yang hanya mengandungi pewarna dan bahan kandungannya yang agak bahaya, kita akan keluarkan juga,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Yang hadir sama dalam majlis pembukaan pasar raya itu ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan CF Global Ventures Sdn Bhd, Adzhar Mohd Noor dan Ketua Pegawai Operasi Malakat Grocer, Noor Herdawaty Zakaria.
Pasar raya Malakat Grocer terbaharu itu masing-masing terletak di deretan kedai di Jalan Kosas 1/3, Taman Kosas dan Jalan Mewah 1/3, Taman Pandan Mewah (berhadapan Hospital Ampang).
Selain di Ampang, Malakat Grocer juga terdapat di pusat beli belah Malakat Mall, Cyberjaya dan Taman Putra Perdana, Puchong.

Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali senagai Coach Fadzil berkata, buat masa ini produk milik usahawan Muslim masih belum banyak terdapat di sini dan pihaknya akan mengisi kekosongan itu dalam tempoh seminggu.
“Paling mengujakan kita di sini barangan “fresh” di sini memang sangat segar dan kita akan bawakan konsep sama di pasar raya Malakat Grocer yang lain,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, selain berbelanja di Malakat Grocer, pelanggan setia juga berpeluang untuk mendapat plot tanah secara percuma di Muslim Village.
“Berita gembira untuk penduduk di Ampang, ambil ruang dan peluang dengan berbelanja minimum RM300 di Malakat Grocer dan anda boleh dapat plot tanah Muslim Village secara percuma selepas tempoh lima tahun.
“Sebenarnya, ramai sudah minta dan Ampang ialah tempat yang sangat strategik dan mempunyai kepadatan penduduk sangat tinggi.
“Selain itu, di sini juga mempunyai penyokong-penyokong kebangkitan ekonomi Islam yang cukup ramai. Jadi kita harapkan sokongan daripada orang ramai untuk datang dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Coach Fadzil juga memohon doa orang ramai supaya pasar raya itu terus berkembang maju di masa hadapan.
“Doakan untuk tempat ini mendapat keberkatan, kami hanya orang yang bekerja dan berkhidmat, dan setiap amanah yang kita dapat, jika ada keuntungan kita akan salurkan semula kepada ummah melalui pemberian tanah percuma.
“Dan doakan juga jika cukup keupayaan rumah pecuma, pendidikan percuma dan kesihatan percuma pun kita boleh bagi,” ujarnya.
Bagaimanapun, Coach Fadzil berkata, usaha itu hanya dapat dilakukan sekiranya semua pengguna menyatukan kuasa membeli mereka di Malakat Grocer.-MT