Malakat Mall capai pematuhan SOP PKP 100 peratus

0
105
Rosol Wahid

CYBERJAYA –  Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berpuas hati dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh pihak pengurusan Malakat Mall di sini dan premis-premis perniagaan yang beroperasi di pusat beli belah itu.

Beliau berkata, kunjungan yang diadakan pada Rabu lalu bersama beberapa Pegawai Kanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan anggota penguatkuasa mendapati pematuhan itu berada pada tahap 100 peratus.

“Saya dan pegawai penguatkuasa kementerian sangat berpuas hati dengan pengurusan mall di mana premis-premis di dalamnya telah mematuhi 100% SOP PKP dengan menyediakan QR Code MySejahtera, Alat Pengesan Suhu, Cecair Sanitasi Tangan, Daftar Kehadiran Pelawat, had bilangan pelanggan dalam premis dalam sesuatu masa dan penjagaan penjarakan fizikal antara pelanggan. 

“Pihak kementerian juga mendapati kedai-kedai yang tidak termasuk dalam senarai MKN (Majlis Keselamatan Negara) tidak beroperasi mengikut arahan,’’ katanya pada Walk About Pemantauan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Dalam kunjungan itu, Rosol bersama Timbalan Ketua Setiuasaha Kementerian, Dr. Alauddin Sidal dan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam dan anggota penguatkuasa diiringi Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim.

Beliau juga diberi penerangan mengenai sejarah penubuhan pusat beli-belah berkonsepkan pusat perniagaan Islam oleh Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil.

Rosol Wahid (enam dari kiri) bersama Mohd. Fadzil Hashim (lima dari kiri) dan barisan pengurusan Malakat Mall, Cyberjaya.

Rosol berkata, lawatan itu selaras dengan bidang kuasa yang telah diberikan kerajaan kepada KPDNHEP untuk memantau pematuhan SOP PKP di bawah Akta 342 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 oleh KKM mulai 4 Mei 2020. 

Katanya, KPDNHEP juga telah diberi kuasa untuk mengenakan kompaun ke atas syarikat atau individu yang melanggar SOP PKP bermula dari 1 Januari 2021. 

“Pendekatan Kementerian sejak dari dulu adalah lebih kepada memudah cara pemain industri dalam konteks “ease of doing business” yang mana Kementerian mendahului dengan memberi nasihat dan amaran dan kompaun akan hanya dikenakan jika nasihat dan amaran tidak dipatuhi. 

“Bagaimanapun Kementerian tidak akan teragak-agak untuk menutup sesuatu premis jika tahap ketidak-patuhan di peringkat yang serius,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here