
RAUDHAH CITY – Kejayaan rangkaian kedai runcit 99 Speedmart dan kedai serbaneka, 7 Eleven mencatatkan jualan berbilion ringgit setahun juga mampu diraih oleh umat Islam sekiranya bertukar cara berbelanja dan menjadi pemilik bersama dengan menyertai Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).
Menurut Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim, bagi merealisasikan hasrat tersebut pihaknya telah memulakan projek RM6 bilion.
“Dengan projek RM6 bilion ini, satu keluarga berbelanja runcit RM500 untuk satu kedai Malakat Grocer.
“Kita menyasarkan boleh membekalkan barangan runcit untuk 1,000 keluarga. Jika 1,000 keluarga dikali dengan belanja runcit RM500 sebulan, ia menjadi nilai RM500,000 sebulan bagi sebuah kedai.
“RM500,000 sebulan kali dengan 12 bulan iaitu setahun, nilainya adalah RM6 juta jualan setahun. RM6 juta jualan satu kedai setahun untuk 1,000 keluarga kali dengan 1,000 kedai untuk satu negara, maka dapatlah RM6 bilion,” katanya.

Beliau berkata, untuk mencapai hasrat tersebut, semua pihak khususnya umat Islam perlu menjadi ahli KoPPIM dengan permulaan RM100 sahaja.
“Saya nak sebut, 99 Speedmart sudah ada melebihi 1,000 buah kedai dan 7-Eleven 1,700 kedai.
“Kedai 99 Speedmart hanya jual barang kering. Dia tak jual tong gas tapi namun pada 2018, 99 Speedmart membuat jualan RM3.4 bilion.
“Bila jadi ahli KoPPIM, semua keuntungan kita sebahagiannya akan diberi kembali kepada ahli-ahli KoPPIM.
“Jadi, para usahawan pula, apabila KoPPIM mendapat dana sumbangan tuan puan, mereka boleh bantu untuk kembangkan kedai dan mengembangkan rantaian perbekalan daripada pengilang kepada pengedar dan terus daripada peladang agar usahawan kita tidak lagi bergantung kepada pinjaman riba,” ujarnya.

Tambahnya, dengan itu umat Islam tidak perlu lagi bergantung kepada pinjaman yang melanggar syarak samada mengambil dan membayar hutang riba.
“Jadi mereka mendapat rakan kongsi atau strategic partner, yang mana koperasi akan memberi modal atau capital expenditure.
“Inilah RM6 bilion. Tuan puan satukan kekuatan runcit kita, korbankan sikit.
“Sambil-sambil berbelanja itu, paling tidak RM300, tuan puan akan dapat tanah percuma di Muslim Village,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, dalam masa terdekat ini pihaknya akan membuka 10 lagi cawangan Malakat Grocer.-MT